(Video) Pernah Dianggap Gila, Pakcik Ni Habiskan Masa 24 Tahun ‘Hijaukan’ 250 Hektar Kawasan Tandus Hingga Beri Manfaat Untuk Semua Penduduk Kampungnya

Setiap orang mempunyai pelbagai impian dan cita-cita tersendiri, tetapi apa yang terbaik adalah apabila ia juga mampu memberi manfaat kepada orang di sekeliling.

Seperti yang dilakukan oleh warga emas ini yang mempunyai impian untuk melihat kampung halamannya tidak menjadi sebuah tanah yang tandus.

Warga emas yang dikenali sebagai Sadiman itu pernah dianggap gila kerana tanpa henti menanam pokok di sebuah bukit di Wonogiri, Jawa Tengah, sejak 24 tahun yang lalu.

Kini, akar panjang iaitu kira-kira 11 ribu pokok beringin dan pokok ara yang ditanam olehnya di kawasan seluas 250 hektar dapat membantu mengumpulkan air bawah tanah dan mencegah hakisan di kawasan itu.

Menurut Detik News, berkat usaha Sadiman, yang juga dikenali sebagai ‘mbah’, sejumlah mata air muncul di kawasan tandus dan gersang.

Walaupun dahulu usahanya tidak dihargai, sekarang air dilihat mengalir melalui rumah penduduk dan tanah pertanian tempatan.

“Orang mengejek saya kerana membawa biji pohon beringin ke kampung, mereka merasa tidak selesa kerana mereka percaya ada makhluk halus pada pohon itu,” katanya.

Salah seorang penduduk kampung, Warto, mendedahkan bahawa ada beberapa orang yang menyangka Sadiman gila kerana dia menukar kambing dengan benih pohon beringin.

“Dahulu, orang mengatakan dia gila, miliki kambing tapi ditukar dengan benih pohon beringin, tetapi sekarang penduduk dapat menikmati hasilnya, mereka memperolehi air yang mencukupi,” kata Warto.

Sadiman juga dipercayai menanam pokok cengkih dan nangka yang boleh dijual olehnya.

“Saya harap penduduk di sini dapat hidup dalam kesejahteraan dan hidup bahagia, jangan membakar hutan secara berterusan,” tambah Sadiman.

Sumber: Detik News

The post (Video) Pernah Dianggap Gila, Pakcik Ni Habiskan Masa 24 Tahun ‘Hijaukan’ 250 Hektar Kawasan Tandus Hingga Beri Manfaat Untuk Semua Penduduk Kampungnya appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments