(Video) APMM Lupuskan 4 Bot Nelayan Vietnam, Tenggelamkan Tukun Tiruan Di Perairan Kuala Nerus

KUALA NERUS, 18 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu hari ini melupuskan empat bot nelayan Vietnam secara menenggelamkannya untuk dijadikan sebagai tukun tiruan di perairan Kuala Nerus, kira-kira 12 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata keempat-empat bot tersebut telah dilucutkan hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2019 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

“Kesemua bot tersebut ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Iman yang dilaksanakan sepanjang tahun 2018 dan 2019.

“Program pelupusan bot hari ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita selepas Program Pelupusan Bot Nelayan Asing, di sini hari ini.

Beliau berkata program pelupusan bot pada hari ini adalah yang pertama diadakan pada 2021 dan pihaknya menjangkakan sebanyak 43 bot nelayan asing lagi yang bakal ditenggelamkan pada tahun ini setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah.

Katanya, sejak 2010 hingga 2020, sebanyak 99 buah bot telah ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di sepanjang perairan Terengganu, melibatkan anggaran nilai keseluruhan RM150 juta.

Muhammad Suffi berkata kaedah penenggelaman bot sebagai tukun tiruan itu merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan APMM dalam mengekang kebanjiran nelayan asing ke perairan negara.

“Pendekatan ini juga merupakan isyarat tegas kerajaan dalam memelihara kedaulatan perairan negara dan memastikan sumber perikanan terus dilindungi daripada dirompak nelayan asing,” katanya.

 

Sumber: Bernama

The post (Video) APMM Lupuskan 4 Bot Nelayan Vietnam, Tenggelamkan Tukun Tiruan Di Perairan Kuala Nerus appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments