(Video) Anjing Jadi Hero, ‘Stop’ Trafik Untuk Dapatkan Bantuan Untuk Tuannya Yang Diserang Sawan Secara Tiba-tiba

Tindakan pantas seekor anjing yang menghentikan lalu lintas dan mendapatkan pertolongan berjaya menyelamatkan nyawa tuannya yang secara tiba-tiba diserang sawan ketika membawanya bersiar-siar pada waktu pagi, lapor Daily Mail.

Haley Moore dilaporkan sedang berjalan-jalan di kawasan kejiranannya di Stittsville, Ottawa, bersama dengan anjingnya yang bernama Clover pada 16 Mac lalu ketika kejadian tersebut berlaku, lapor CTV News.

“Yang saya ingat pada ketika itu adalah saya mulai sedar ketika di dalam ambulans dan berasa bingung, seperti rasa tidak tahu apa yang berlaku,” kata Hayley kepada agensi berita.

Kamera CCTV sebuah rumah di kejiranan tersebut berjaya merakamkan detik Hayley tiba-tiba pengsan di tepi jalan, memaksa Clover untuk melakukan sesuatu.

Dalam klip rakaman berkenaan, anjing tersebut dilihat memeriksa Haley seterusnya memerhatikan kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Anjing tersebut kemudiannya mula bertindak, melepaskan tali yang dipasang pada kolarnya dari genggaman Haley dan berjalan ke tengah jalan untuk menahan sebuah trak yang melalui jalan tersebut, memaksa pemandu trak tersebut iaitu Dryden Oatway untuk berhenti dan membantu mereka.

“Ianya sangat mengagumkan. Anjing itu telah menghalang jalan saya. Dia telah menunggu di tengah jalan untuk menahan trak saya,” kata pemandu itu kepada CTV News.

“Sepanjang dia duduk di tengah jalan itu, dia turut memerhatikan Haley, dia langsung tidak berpaling pandangannya daripada Haley,” tambahnya. “Dia menjaga jaraknya daripada saya namun turut memastikan pemiliknya berada dalam keadaan baik dan itu sangat mengagumkan.”

Sementara Clover memerhati, Dryden dengan panik telah pergi membunyikan loceng pintu rumah jiran yang berdekatan sebelum kembali untuk memerhatikan keadaan Haley.

Anjing itu kemudiannya telah menarik perhatian jirannya yang lain, Danielle Pilon, yang telah bergegas turun daripada kenderaannya bagi membantu mereka.

“Anda boleh tahu bahawa Clover langsung tidak mahu meninggalkan tuannya walaupun ketika kami semua berada bersama tuannya,” katanya kepada CTV News.

Clover telah ikut jirannya itu untuk memberitahu keluarga Haley, dan pada masa ibu bapanya – Randall dan Diane Moore – tiba di tempat kejadian, dia sedang dirawat oleh paramedik, menurut agensi berita.

“Melihat daripada tindakan Clover dalam memastikan tuannya selamat dan sanggup bertindak dengan cara ekstrim…dia pada dasarnya sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk tuannya itu,” kata Diane.

Keluarga Moore masih tidak pasti tentang apa yang menyebabkan Haley tiba-tiba diserang sawan, namun mereka berasa lega kerana tahu bahawa Clover ada untuk menjaga tuannya itu.

“Jika kejadian ini berlaku lagi, saya berasa 10 kali selamat, dan saya tahu dia akan selalu ada untuk saya,” kata Haley sambil menambah: “Anda tahu betapa bagusnya haiwan dan dia adalah seekor anjing yang sangat mengagumkan dan saya sangat-sangat menyayanginya.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Anjing Jadi Hero, ‘Stop’ Trafik Untuk Dapatkan Bantuan Untuk Tuannya Yang Diserang Sawan Secara Tiba-tiba appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments