Rasa Bahang Sebab Musim Panas Terik? Cuba 5 Cara Ni Untuk Sejukkan Rumah Tanpa Guna ‘Aircond’

Kebelakangan ini, beberapa tempat di negara kita mengalami peningkatan suhu yang ketara. Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran tahap jingga melibatkan beberapa kawasan di mana suhu mencecah 37 sehingga 40 darjah selsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Justeru, orang ramai disarankan agar minum air secukupnya, mengurangkan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka selain menyimpan bekalan air. Selain itu, berikut adalah lima cara untuk menyejukkan ruang di dalam rumah anda biarpun tanpa pendingin hawa.

1. Tutup bidai/langsir

Menurut laman Huff Post, sebanyak 30 peratus haba di dalam rumah masuk menerusi tingkap. Dengan menggunakan bidai atau langsir, anda boleh menjimatkan penggunaan elektrik dan merendahkan suhu di dalam rumah.

2. Gunakan langsir tebal atau black out

Berfungsi seperti bidai, langsir black out menyekat cahaya matahari dan melindungi bilik secara semula jadi. Ia dipercayai boleh mengurangkan haba sehingga kira-kira 33 peratus, tulis Huff Post.

3. Letak sebekas ais berhampiran kipas

Mungkin ada antara kita pernah terlihat tips ini di dalam mana-mana video life hacks. Dengan meletakkan sebekas ais di hadapan kipas, anda boleh menikmati udara sejuk dan lembap.

4. Buka kipas bilik air dan exhaust fan di dapur

Manfaatkan kipas di dalam bilik air atau kipas ekzos di dapur untuk menyingkirkan udara panas di dalam rumah. Jika perlu, anda juga boleh menggunakan kipas berdiri dan meletakkannya di tepi tingkap untuk menolak udara panas keluar seperti dilakukan oleh pemuda ini.

5. Gantikan lampu pijar

Menurut Huff Post, lampu pijar menggunakan sekitar 90 peratus daripada tenaganya melalui haba yang dihasilkan. Justeru, menggantikan lampu pijar dengan lampu fluoresen jimat tenaga adalah pilihan yang lebih baik.

Sumber: Huff Post

The post Rasa Bahang Sebab Musim Panas Terik? Cuba 5 Cara Ni Untuk Sejukkan Rumah Tanpa Guna ‘Aircond’ appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments