Penganggur Mengaku Tidak Bersalah Muat Naik Video Burukkan Imej Polis

SEREMBAN, 17 Mac (Bernama) — Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap pertuduhan memuat naik video yang memburukkan imej anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman profil Facebook, bulan lepas.

Tertuduh, K. Haridas, 40, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melalui hantaran di aplikasi Facebook menggunakan akaun ‘Defend People’s Rights Group’ didakwa secara sedar memuat naik video berdurasi 32 minit 40 saat bertajuk ‘Salah Laku OCPD dan KBSJD IPD Seremban’, yang mencemarkan serta memburukkan nama baik serta kredibiliti dua anggota polis dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 10.33 pagi di sebuah rumah di Taman Pasir Mas, Rantau di sini pada 2 Feb lepas, mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christopher Enteri Anak Mawan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret, Haridas turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, tiga tahun lepas.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas dan enggan memberikan kerjasama kepada anggota polis bagi mengelakkan pemeriksaan dibuat di rumahnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediammannya pada 10.35 malam di Taman Pasir Mas, Rantau di sini pada 28 Mac 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Mahyun Yusof menetapkan wang jaminan RM3,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan 31 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainal Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

The post Penganggur Mengaku Tidak Bersalah Muat Naik Video Burukkan Imej Polis appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments