Kenapa Kuasa Tentera Myanmar Begitu Kuat Hingga Mampu Jatuhkan Kerajaan? Ini Jawapannya

Beberapa bulan yang lalu, dunia dikejutkan dengan rampasan kuasa yang dilakukan oleh pihak junta tentera Myanmar sehingga menyaksikan Aung Sun Suu Kyi dan barisan menteri dari parti pemerintah telah ditahan.

Pihak tentera juga telah mengisytiharkan darurat selama setahun. Susulan itu, rakyat Myanmar sehingga hari ini melakukan rusuhan bagi membantah tindakan tersebut sehingga menyebabkan ramai yang terkorban.

Pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa kuasa tentera Myanmar amat kuat sehingga boleh menjatuhkan para pemerintah demokratik.

Tentera kuasai Myanmar sejak 1962

Bagi yang masih tidak tahu, penguasaan ketenteraan terhadap pemerintahan di Myanmar bukanlah perkara baharu, tentera telah menguasai negara tersebut sejak tahun 1962 lagi.

Menurut The Conversation, setelah pemimpin nasionalis, Jeneral Aung San (bapa Aung San Suu Kyi) dibunuh pada tahun 1947, pemerintahan awam pasca kemerdekaan pada tahun 1948 bermula dengan langkah yang tidak baik.

Perang Saudara telah meletus pada tahun 1949 di antara pemerintah dan pelbagai pasukan pemberontak termasuk tentera etnik dan komunis.

Ketika perang saudara berlaku dan politik nasional semakin berpecah belah, tentera melihat diri ‘mereka’ sebagai satu-satunya kekuatan yang dapat menyatukan negara tersebut.

Sistem politik berubah

Jeneral Ne Win, yang mengambil alih kekuasaan dalam kudeta ketenteraan telah membentuk negara tersebut dari segi politik dan ekonomi dengan ideologi baharu iaitu Burmese Way to Socialism.

Ideologi tersebut telah mengakhiri institusi demokratik dan kebebasan sivil.

Walaupun revolusi sosialis gagal, Ne Win telah berjaya mengubah sepenuhnya sistem politik agar sesuai dengan tentera.

Ini telah mewujudkan hubungan yang kuat antara tentera dan negara.

Mekanisme utama di sini ialah pegawai yang meninggalkan perkhidmatan tentera diberi jawatan dalam pentadbiran awam, bergantung pada pangkat mereka, jeneral biasanya akan diberikan jawatan menteri.

Sistem ini sebahagian besarnya masih kekal hingga kini.

Pemerintahan berpandukan ‘motivasi’

Tentera telah ‘dipandu’ oleh beberapa motivasi, salah satunya adalah ketakutan terhadap demokrasi terbuka di mana etnik minoriti iaitu kira-kira 30% atau lebih  daripada populasi, mungkin akan mendapat terlalu banyak kuasa.

Tetapi motivasi yang paling tahan lama adalah bahawa tentera perlu mempertahankan kuasa veto yang aman daripada pemerintahan awam.

Menurut laporan dari Crisis Group pada tahun 2001, pemodenan angkatan bersenjata sejak 1989 telah memberikan kejayaan ketenteraan yang belum pernah terjadi sebelumnya .

Selama satu dekad, pemerintah telah membuat perjanjian gencatan senjata dengan 17 bekas musuh.

Rejim tentera itu telah membuka sebahagian ekonomi Myanmar terutama di sektor minyak dan gas sehingga awal tahun 1990-an.

Negara itu telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang positif sepanjang dekad itu di peringkat kebangsaan.

Tentera telah mengikuti corak penguasaan pemerintah selama mungkin dengan satu cara dan kemudian ketika krisis melanda, mereka mencipta semula tujuan rasmi untuk penguasaan yang berterusan dengan cara lain.

Rakyat sebagai ancaman baru

Tahun 1988 menandakan titik perubahan yang mendalam kerana tentera tidak lagi hanya memandang musuh dari luar dan kumpulan etnik sebagai lawan, tetapi rakyat di negara itu juga.

Bukan itu sahaja, sistem penyediaan pegawai tentera yang bersara dengan jawatan dalam pemerintahan turut dipertahankan, selain pembukaan ekonomi yang menyaksikan kemunculan syarikat milik negara besar seperti Union of Myanmar Economic Holding (UMEHL).

Firma-firma ini menawarkan peluang lebih lanjut untuk memberi pegawai tentera dengan jawatan dalam pentadbiran dan perniagaan awam.

Ini mengakibatkan hubungan erat antara tentera, negara dan ekonomi.

Sejauh mana pengaruh tentera juga dapat dilihat menerusi kesemua anggota pengasas Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD), kecuali Aung San Suu Kyi, adalah bekas pegawai tentera.

Sumber: The Conversation, DW, Crisis Group

The post Kenapa Kuasa Tentera Myanmar Begitu Kuat Hingga Mampu Jatuhkan Kerajaan? Ini Jawapannya appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments