Diberi Nama ‘Godzilla’, Si Monyet Hidap Obesiti Dengan Berat Badan 20kg

Kalau kita rasa obesiti itu hanya boleh menghantui manusia sahaja, ternyata ianya silap. Tahukah anda, haiwan juga berisiko untuk terdedah dengan ancaman kegemukan melampau kalau diet pemakanannya tidak seimbang.

Selama ini kita dimomokkan; oh kalau makan banyak nanti gemuk macam gajah. Salah, Gajah badannya besar kerana itu memang fitrah kejadiannya. Sama juga macam badak, beruang, kerbau dan sebagainya.

Tapi apa yang berlaku di Thailand ini memang betul-betul di luar jangkauan akal fikiran kita. Seekor haiwan yang gemuk sebab diberi makan benda yang ‘bukan-bukan’. Bukan lembu, bukan gajah, bukan panda…tetapi monyet.

Seekor monyet dalam sebuah pasar di wilayah Min Buri ‘menderita’ penyakit obesiti apabila saiz badannya yang membesar macam ‘belon’. Gemuk, buncit dan ‘montel-montel’ begitu.

Monyet itu dinamakan sebagai Godzilla. Mungkin namanya diberi bersempena dengan saiz badannya yang besar macam raksasa Godzilla. Memang badannya besar, tapi usianya baru saja mencapai tiga tahun.

Gambar: Mail Online

Menurut apa yang dilaporkan, Godzilla ini pada awalnya hanyalah seekor monyet biasa yang bersaiz normal ketika dijumpai tuannya sebelum ini.

Tapi disebabkan ia sudah dibela oleh manusia sejak kecil, jadi Godzilla tidak ‘reti’ untuk mencari makanan sendiri. Monyet montel ini sebaliknya ‘dimanjakan’ dan diberi makanan oleh tuannya sahaja.

Kalau makanan biasa-biasa, itu normal la kan? Tapi Godzilla ini dikatakan akan memakan makanan pemberian orang yang lalu-lalang di depan kedai tuannya. Kalau dah bersaiz begitu, entah apalah benda yang dimakannya. Mesti macam-macam.

Akibat diet pemakanannya selaku seekor haiwan primat tidak diberi dengan betul, itu yang menyebabkan badannya mengalami obesiti. Kalau lihat gambarnya pun memang sudah terbukti, Godzilla mempunyai fizikal yang besar.

Gambar: Mail Online

Difahamkan, berat badan Godzilla kini mencapai kira-kira lebih 20 kilogram. Dah macam berat seorang kanak-kanak tadika pun ada. Walhal berat normal monyet seusianya adalah lebih kurang 10 kilogram saja.

Yang menariknya, walaupun ‘manja’ dibeli di kedai tuannya, Godzilla hanya akan mesra dengan orang yang ia selesa saja. Kalau orang tu Godzilla tak berkenan, maka ia akan bertukar menjadi agresif.

Selain itu, Godzilla hanya akan makan makanan pemberian orang yang ia suka saja. Pelik betul, walaupun seekor monyet, tapi boleh ada ‘perasaan’ untuk nak pilih siapa yang suka, siapa yang tak suka.

Satu lagi, jangan sangka Godzilla ini pemalas ya. Dikatakan juga, primat ini rajin bersenam pada setiap pagi. Mungkin adalah beberapa aktiviti pergerakan fizikal yang dilakukan.

Godzilla pewaris Uncle Fatty

Tahukah anda, sebenarnya Godzilla bukanlah satu-satunya monyet tergemuk di dunia yang pernah ada. Sebelumnya lagi, ada seekor lagi monyet obesiti yang pernah mencuri perhatian umum..iaitu Uncle Fatty.

Uncle Fatty ini boleh dikatakan monyet paling gemuk pernah wujud. Berat si primat montel ini juga dikatakan mencapai sehingga 27 kilogram pada usianya 10 tahun ketika itu.

Gambar: Mail Online

Tengoklah gambarnya. Nampak gayanya si pakcik Fatty ini mungkin agak susah nak bergerak dengan perut memboyot sampai ke tanah begitu. Nampak macam comel, tapi hakikatnya fitrahnya sebagai primat telah pun hilang. Nak memanjat pokok macam mana kalau begitu kan?

Tapi hidup Uncle Fatty ini berakhir dengan tragis. Walaupun hidup sebagai monyet liar di jalanan, tapi saiz badannya yang besar menyebabkannya sukar untuk  bergerak. Akhirnya ia diambil dan diletakkan di pusat jagaan (mungkin atas faktor kesihatan).

Disebabkan kemahuan makannya yang terlalu tinggi, Uncle Fatty ibarat ‘membunuh’ dirinya sendiri. Obesiti yang dialami membuatkan fitrahnya sebagai haiwan primat yang sepatutnya sentiasa bergantungan di dedahan pokok musnah, bertukar menjadi si montel yang kemengahan di jalanan.

Kali terakhir keberadaannya dikesan ketika itu adalah pada sekitar Jun 2019 sebelum hilang tanpa jejak. Kehilangannya dianggap umum sebagai mati.

Itulah kisah dua ekor monyet obesiti yang dikenali ramai ini. Thailand memang salah satu negara yang ‘kaya’ dengan monyet di jalanan. Namun apa yang dilakukan oleh sesetengah pelancong yang gemar memberi monyet-monyet ini makanan (bukan sepatutnya yang dimakan), akhirnya telah menukar fitrah kejadiannya.

Sumber: Mail Online

The post Diberi Nama ‘Godzilla’, Si Monyet Hidap Obesiti Dengan Berat Badan 20kg appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments