(Video) Bunyi Letupan Di Sabah Berpunca Daripada Bola Api Memasuki Ruang Udara Bumi – IMO

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Bunyi letupan dan gegaran kuat yang berlaku di Sabah pada Ahad lepas, merupakan fenomena bola api memasuki ruang udara bumi.

Perkara itu disahkan oleh International Meteor Organisation (IMO) dalam laporan yang dikeluarkan di laman sesawangnya baru-baru ini, dengan kod peristiwa 632-2021.

Timbalan Pengarah (Pencerapan) Planetarium Negara Zamri Shah Mastor berkata peristiwa tersebut dirakamkan pada 11.04 pagi dan sebanyak lima laporan diterima berhubung bunyi letupan itu iaitu dua dari Sabah dan tiga dari Brunei.

Beliau berkata kedudukan bola api tersebut ketika berlaku letupan adalah di Papar, Sabah dan daerah Muara, Brunei berdekatan Laut China Selatan.

“Ia telah disahkan oleh IMO. Saya yakin video dari Sabah mengesahkan fenomena itu sebenarnya satu kejadian bola api. Ia seperti meteor tapi jauh lebih besar.

“Meteor berbentuk halus tetapi bola api lebih besar dan boleh dilihat pada waktu siang juga. Ia mencapai kecerahan bulan separuh atau bulan purnama,” katanya kepada Bernama TV ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, menerusi laporan yang diterima daripada IMO, sebanyak 57 kejadian seumpama itu telah direkodkan tahun ini, dengan yang terbaharu di Bali, Indonesia, Januari lepas.

“Ia merupakan batu dari angkasa lepas, bergesel melanggar atmosfera bumi, bila panas menyebabkan ia terbakar, ia sama ada meletup di udara atau jatuh ke permukaan. Pecahan-pecahan itu kami jangkakan ada yang telah memasuki ruang udara bumi dan ada yang hangus di galaksi,” katanya.

Ditanya kebarangkalian impak kerosakan yang boleh terjadi ekoran kejadian bola api, katanya, ia bergantung kepada saiz yang memasuki ruang udara bumi.

Sekiranya ia terlalu besar, ia akan menghasilkan fenomena ‘Sonic Boom’ atau letupan yang kuat seperti yang berlaku di Sabah, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata sehingga kini tiada sebarang laporan kerosakan atau impak yang berlaku berikutan kejadian itu.

Ahad lepas, penduduk sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Labuan digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran antara lima sehingga enam saat, kira-kira 11 pagi hari berkenaan.

Sumber: BERNAMA

The post (Video) Bunyi Letupan Di Sabah Berpunca Daripada Bola Api Memasuki Ruang Udara Bumi – IMO appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments