(Video) Biskut ‘Abang Wheelchair’, Atlet Paralimpik Buat Biskut Jana Pendapatan Ketika Pandemik

JOHOR BAHRU – Meskipun tidak mampu bergerak setelah disahkan lumpuh kedua-dua belah kaki akibat kemalangan yang dialaminya lima tahun lalu, Mohamad Sufian Jasmi tetap berusaha dan berdikari untuk meraih pendapatannya sendiri, apatah lagi ketika pandemik COVID-19.

Beliau yang juga atlet paralimpik sukan memanah negeri Johor, kini mengusahakan perniagaan biskut coklat di rumahnya di Taman Gembira, dekat sini.

Meskipun bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak, pemuda berusia 22 tahun itu tidak pernah menjadikannya alasan, untuk mengharapkan bantuan dan simpati semata-mata tanpa berusaha mencari rezeki.

Hasil saranan ibunya dan juga seorang kenalan lain, agar mengikuti kursus selama sebulan anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) pada tahun lalu, membuka lembaran baru untuknya menjadi ‘pembuat biskut’ yang mampu menjana pendapatan.

“Saya tak terfikir pun nak buat ‘cookies’ tapi lepas saya belajar, saya rasa ia boleh maju walaupun sebelum ini saya cuba berniaga pakaian terpakai  (bundle), tapi tak pernah terjual langsung tetapi saya tidak berputus asa.

“Jadi saya tengok dengan ‘cookies’ saya boleh jana pendapatan…”

“Kawan-kawan juga galakkan buat perniagaan lain, jadi saya tengok dengan ‘cookies’ saya boleh jana pendapatan. Macam ejen saya di Kulai, biasanya dia ambil seminggu dalam empat kilogram, dari situ saya dah seronok, jadi saya buat,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di kediamannya baru-baru ini.

Beliau yang pernah menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 berkata, berbekalkan modal RM50 di samping ilmu membuat biskut, strategi pemasaran dan bantuan peralatan pengadun (mixer) serta ketuhar pemanas disediakan YPKDT, beliau berjaya memperoleh keuntungan sekitar RM600 sebulan pada permulaan perniagaan.

Menggunakan nama ‘Abg_wheelchair’  di laman sosial instagramnya yang menjadi platform jualan biskut coklat,  beliau nekad untuk terus mengembangkan perniagaannya meskipun menghadapi sedikit cabaran dan kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19, yang menyebabkan dua pengedar tidak dapat meneruskan pengambilan biskut itu.

Selain menjual biskut coklat, anak kedua daripada tujuh beradik ini juga turut mengambil tempahan pelbagai jenis burger – ayam, lembu, benjo – serta roti john, mengikut permintaan pelanggan.

Beliau yang juga dibantu ibu dan adiknya perlu menyiapkan antara 30 hingga 50 biji burger setiap hari, kecuali hari minggu untuk dihantar ke kilang yang membuat pesanan.

Peristiwa ‘pahit’ pada Mac 2016  yang hampir meragut nyawanya…

Mengimbau kembali peristiwa ‘pahit’ pada Mac 2016  yang hampir meragut nyawanya, Mohamad Sufian yang disahkan lumpuh selepas kemalangan berkenaan mengakui, pada mulanya ‘malu’ untuk bersemuka dan berjumpa dengan orang luar.

Namun, perasaan itu beransur hilang, disebabkan menerima sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.

Semasa menjalani rawatan pemulihan itulah, Mohamad Sufian kemudiannya berkenalan dengan pasukan memanah dan akhirnya kembali aktif bersukan pada tahun 2018.

Memasang impian untuk memiliki kedai biskut dan kek suatu hari nanti, dia juga mahu membuktikan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) sepertinya, juga mampu berjaya dan berdiri di atas kaki sendiri seperti insan lain, namun sokongan daripada masyarakat sekeliling amat diperlukan.

“Nasihat saya…kalau rasa diri susah, ada orang lain lagi susah. Mungkin saya lumpuh macam ni tapi saya boleh buat ‘cookies’ jadi yang normal yang  tak diterima bekerja cubalah buat perkara lain, kerana masih banyak benda halal lain yang boleh buat…kekurangan bukan penghalang membuat sesuatu,” katanya.

— BERNAMA

The post (Video) Biskut ‘Abang Wheelchair’, Atlet Paralimpik Buat Biskut Jana Pendapatan Ketika Pandemik appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments