Usus Pecah Dan Badan Penuh Lebam, Kisah Menyayat Hati Bayi 16 Bulan ‘Jeong In’ Maut Didakwa Didera Ibu Bapa Angkat

Berita tragedi yang menimpa adik Amir telah menggemparkan seluruh Malaysia. Ramai yang bersimpati dengan nasib si kecil yang sepatutnya disayangi, namun terkorban dalam keadaan menyayat hati.

Kes hampir serupa juga pernah dilaporkan berlaku beberapa bulan lalu di Korea Selatan. Kisah baby Jeong In, 16 bulan, telah menyebabkan seluruh negara itu berduka atas pemergian anak kecil berkenaan.

Menurut media KoreaJoongAngDaily, kanak-kanak itu telah diambil sebagai anak angkat pada bulan Januari 2020, sekitar 271 hari atau sembilan bulan sebelum mangsa meninggal dunia pada Oktober lalu.

Bayi malang itu dipercayai telah didera ibu dan bapa angkatnya susulan penemuan kesan lebam pada badan dan kecederaan parah pada organ dalaman mangsa.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada abdomen dan pendarahan dalaman termasuk usus pecah dipercayai akibat “daya yang kuat dikenakan pada belakangnya”.

Selain itu, Perkhidmatan Forensik Kebangsaan Korea Selatan mendakwa, terdapat tanda-tanda penderaan berterusan seperti lebam dan tulang yang patah pada badan mangsa.

Permulaan tragedi hitam

Lapor Korea JoongAng Daily, Jeong In telah diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri yang masing-masing merupakan seorang penterjemah dan staf syarikat penerbitan. Pasangan itu dikatakan telah mempunyai seorang anak kandung berusia empat tahun. Mereka bertiga bersama Jeong In dikatakan pernah muncul dalam sebuah program oleh Sistem Penyiaran Pendidikan Korea untuk mempromosikan pengambilan anak angkat.

Jeong In bersama ibu, bapa dan kakak angkatnya. (Gambar: EBS/AllKpop)

Kronologi Kejadian

Tragedi yang menimpa bayi malang ini juga telah dikaitkan dengan kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya. Beberapa laporan telah dikemukakan saksi kepada pihak polis berhubung kecederaan Jeong In yang dipercayai didera, namun tiada tindakan diambil pihak tersebut, tulis Yonhap News Agency.

Pada Mei, seorang petugas taska telah membuat laporan polis kerana mengesyaki Jeong In didera selepas melihat kesan lebam pada badannya. Bagaimanapun, ibu dan bapa angkat bayi itu mendakwa kesan itu mungkin berlaku kerana mereka mengurut mangsa terlampau kuat. Susulan itu, polis telah menutup kes berkenaan, lapor Korea JoongAng Daily.

Berikutan itu, pasangan tersebut tidak lagi menghantar mangsa ke taska, sebaliknya hanya menghantar anak kandung mereka ke sana. Daripada Julai hingga September, kehadiran Jeong In ke taska berkenaan hanyalah enam kali manakala anak kandung pasangan itu mempunyai kehadiran penuh.

Kesan lebam pada perut Jeong In. (Kredit: Koreaboo)

Pada Jun, polis telah menerima laporan bahawa Jeong In ditinggalkan bersendirian di dalam kereta di parkir ketika keluarga itu menjamu selera, namun tiada tindakan diambil ke atas ibu bapa angkatnya, lapor portal itu.

Kurang sebulan dari tarikhnya meninggal dunia, pada 23 September, ahli pediatrik yang merawat Jeong In telah mendapati terdapat tanda-tanda penderaan serta kekurangan nutrisi pada mangsa. Beliau kemudiannya melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis, bagaimanapun kes itu telah ditutup atas alasan kekurangan bukti. Akibatnya, Jeong In terus berada di dalam ‘jagaan’ ibu bapa angkatnya sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 13 Oktober.

Rakaman CCTV

Sehari sebelum meninggal dunia, rakaman CCTV di taska mendapati Jeong In berada dalam keadaan tidak sihat dan lemah.

Guru di taska berkenaan memeriksa keadaan mangsa yang lemah longlai dan terkejut setelah mendapati keadaan perut Jeong In yang bengkak.

Menurut World Today News, kanak-kanak itu tidak menangis dan kelihatan terkulai tidak bertenaga. Malah, dia juga tidak mahu makan apabila cuba disuap gurunya, sebaliknya hanya minum sedikit susu.

Tambah portal itu, ibu angkat Jeong In dikatakan hanya singgah di taska tersebut, tanpa mengambil tahu keadaan mangsa. Dia dilaporkan hanya menjenguk pintu masuk taska dan terus pulang ke rumah.

Salah seorang doktor yang merawatnya berkata, keadaan Jeong In sangat teruk.

“Ususnya pecah dan udara di dalam usus telah keluar. Ini adalah kesakitan paling sakit. Ia sangat menyakitkan sebab kanak-kanak itu tidak bercakap,” katanya.

“Ia adalah kesakitan yang orang dewasa pun tak mampu tanggung, tapi kenapa Jeong In tidak menangis?”

“Secara perubatan, ia merupakan ‘keadaan emosi’ (emotional state). Ketika anda benar-benar berada dalam keadaan emosi (berkenaan), anda akan berperilaku seperti itu,” kata doktor lain seperti ditulis World Today News.

Semasa dibawa ke hospital pada hari kejadian, petugas kesihatan mendapati terdapat beberapa tulang yang patah selain kesan lebam dan pendarahan di kepala mangsa. Jeong In dilapor mengalami tiga kali serangan jantung semasa di hospital dan dia tidak dapat diselamatkan. Susulan itu, pihak hospital telah mengemukakan kemungkinan penderaan kanak-kanak kepada pihak polis.

Berikutan itu, suspek berusia 34 tahun telah didakwa mendera mangsa manakala suaminya pula disiasat di bawah tuduhan pengabaian, lapor Korea JoongAng Daily.

Bagaimanapun, tertuduh dilaporkan mengakui pernah memukul Jeong In, namun mendakwa tindakannya tidak sampai ke tahap mencederakan Jeong In dengan teruk.

“Saya marah jadi saya pukul dia beberapa kali. Saya sedang tukar lampin ketika saya tolak bahunya. Jadi, dia terjatuh dan kepala terhantuk ke lantai. Itu sahaja saya ingat,” katanya seperti dilapor Koreaboo.

Selain itu, laporan daripada berita SBS 8 O’ Clock News yang dipetik Koreaboo mendakwa, ahli keluarga dan kenalan ibu bapa angkat Jeong In sudah lama mengesyaki kanak-kanak itu telah didera sejak sekian lama.

Kata salah seorang saksi, dia sering melihat kesan parut pada mangsa.

“Setiap kali kami berjumpa, bayi itu sering mempunyai parut. Pernah sekali, muka dan telinganya terkoyak. Di waktu lain, dia mengalami lebam yang teruk,” kata individu yang dipercayai rakan kepada keluarga suspek tersebut.

Antara kesan lebam pada wajah Jeong In. (Gambar: Koreaboo)
Gambar diambil di pusat jagaan kanak-kanak, menunjukkan parut dan lebam pada tubuh Jeong In.(Gambar: Koreaboo)

Selain itu, terdapat juga dakwaan bahawa mereka sanggup meninggalkan Jeong In bersendirian di rumah ketika menziarahi rakan mereka.

“Mereka akan meninggalkan Jeong In berseorangan di dalam biliknya dan datang ke sini. Saya bertanya, “Apa awak nak buat jika Jeong In cedera? Respon mereka, Jeong In elok bermain seorang diri. Katanya, Jeong In akan tertidur jika kepenatan,” ujar salah seorang saksi yang juga rakan tertuduh seperti dilapor Koreaboo.

Selain itu, rakaman CCTV didakwa tindakan tertuduh menolak kereta sorong bayi dinaiki Jeong In dengan kasar turut dikongsikan stesen televisyen tempatan, TV Chosun.

Dalam rakaman itu, wanita itu dikatakan telah menolak kereta sorong itu dengan kuat ketika memasuki lif sehingga ia terlanggar dinding lif tersebut. Tindakan itu juga membuatkan Jeong In terpaksa berpaut kepada pemegang kereta sorong itu dengan kuat sebelum dia terlentang ketika ditolak keluar daripada lif.

Kredit: News.Naver.com

Didakwa atas tuduhan membunuh

Pertuduhan baru turut dikeluarkan selepas pakar forensik mendakwa, suspek berkemungkinan besar berniat untuk membunuh kanak-kanak itu, atau sekurang-kurangnya menyedari bahawa tindakannya boleh menyebabkan kematian.

Para doktor yang menjalankan pembedahan ke atas mangsa berpendapat bahawa ia adalah pembunuhan dengan niat atau secara sengaja. Hasil awal bedah siasat mendapati Jeong In mengalami kecederaan teruk pada pankreas dan koyakan pada mesenteri, iaitu lapisan yang memautkan usus kecil pada dinding abdomen.

Memetik laporan The Straits Times, Presiden Pertubuhan Pediatrik Korea, Dr Lim Hyun Taek berkata, tuduhan bunuh harus dikenakan ke atas ibu bapa angkat mangsa susulan “tanda-tanda jelas trauma yang disengajakan”.

Jelas pakar pediatrik dengan pengalaman 20 tahun itu, kecederaan pada pankreas dialami Jeong In adalah bukti menunjukkan kecederaan itu didatangkan dengan sengaja.

“Pankreas terletak pada bahagian abdomen yang dalam, menjadikannya organ yang amat jarang tercedera,” katanya, menolak dakwaan tertuduh kononnya mangsa cedera akibat terjatuh.

Jelasnya, kecederaan itu sering dikaitkan dengan kemalangan serius seperti perlanggaran keadaan atau jatuh dari tempat tinggi.

“Kes pankreas pecah seperti itu melibatkan kanak-kanak sangat tidak mungkin (terjadi) akibat kecederaan yang tidak disengajakan,” ujarnya.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa mempunyai kerosakan pada abdomen beberapa hari sebelum kematiannnya, tulis The Straits Times.

“Ini bermakna mereka telah menyebabkan kecederaan serupa pada abdomen pada kanak-kanak itu, dan sekali lagi (mencederakannya) pada hari dia meninggal dunia,” tambah Dr Lim.

Tertuduh sebelum itu dilaporkan mendakwa, kecederaan tersebut kononnya adalah kerana Jeong In terlepas daripada pegangan ketika wanita itu terjatuh, membuatkan mangsa terhentak pada kerusi. Biarpun suaminya dilaporkan mengaku atas tuduhan pengabaian, wanita berkenaan tetap menafikan dia bersalah atas kematian Jeong In.

Kredit: Yonhap News Agency

Bagaimanapun pada 2 Januari 2021 lepas, satu episod program televisyen, Unanswered Questions mendedahkan tahap penderaan dipercayai dihadapi kanak-kanak itu sepanjang tempoh dia dijadikan anak angkat.

Berdasarkan laporan Koreaboo, memetik petikan daripada rancangan itu, pakar mendakwa, daya yang kuat sekitar 3,800Newton (N) sehingga 4,200 N diperlukan untuk mengakibatkan kerosakan serupa pada abdomen sepertimana dialami Jeong In.

Gambar: SBS/Koreaboo

Bagi mengenalpasti tindakan yang mampu mencapai daya sekuat itu, mereka telah membuat eksperimen melibatkan manekuin dan seorang staf wanita yang mempunyai profil ketinggian serta berat seakan ibu angkat Jeong In.

Pada mulanya, staf itu menjatuhkan patung dari ketinggiannya, seperti mana yang didakwa suspek apabila ditanya mengenai lebam dan patah pada tubuh badan Jeong In. Bagaimanapun, tindakan itu hanya mempunyai daya 720N sehingga 1,433N, jauh lebih sedikit berbanding daya anggaran, 3,800N – 4,200 N.

Susulan itu, eksperimen diteruskan dengan bantuan atlet profesional iaitu atlet taekwondo dan ahli gusti. Hasilnya, tendangan oleh atlet taekwondo pada abdomen patung itu mencapai daya 2,713N manakala tumbukan padu ahli gusti mencecah 4,387N apabila patung itu disandarkan pada dinding.

Gambar: SBS/Koreaboo

Seorang profesor kejuruteraan dicatatkan berkata, “Angka ini tampak lebih tinggi apabila patung diletakkan pada dinding dan menyerap 100 peratus daya luaran”, sekaligus memberi gambaran kemungkinan yang Jeong In hadapi ketika penderaan berlaku.

Berdasarkan dapatan itu, staf wanita tadi telah cuba memijak manekin yang dibaringkan di atas lantai, mencatatkan daya sebanyak 1,778N. Wanita itu juga telah merekodkan daya 1,927N apabila dia berdiri di atas patung tersebut. Bagaimanapun, kedua-dua nilai itu masih kurang daripada anggaran daya diperlukan untuk menyebabkan kecederaan serupa ke atas mangsa.

Namun, anggaran daya itu hanya dapat dicapai apabila dia MELOMPAT daripada atas kusyen dan mendarat di atas patung, mencatatkan daya 3,869N.

Menurut laporan, keadaan Jeong In berubah  selepas diambil sebagai anak angkat pasangan itu. Dalam sebuah program SBS yang menerbitkan video dan gambar Jeong In dikongsikan bekas penjaganya, kelihatan bayi itu sangat ceria dan bersemangat. Namun, mangsa dikatakan berubah menjadi murung selepas diambil sebagai anak angkat sepanjang tempoh lapan bulan sehinggalah dia meninggal dunia.

Warga maya mengumpulkan gambar Jeong In sebelum (kiri), semasa (tengah) dan selepas beberapa bulan diambil sebagai anak angkat. (Gambar: Koreaboo)

Bahkan, Jeong In dilaporkan mempunyai berat hanya lapan kilogram pada usia 16 bulan berbanding sembilan kilogram pada usia tujuh bulan semasa diambil sebagai anak angkat.

Semasa perbicaraan ke atas tertuduh berlangsung, orang ramai menunjukkan solidariti terhadap Jeong In. Tanda pagar #sorryJungIn telah ditularkan di laman sosial pada penghujung tahun lalu. Jambangan bunga turut diletakkan di sepanjang dinding mahkamah sebagai tanda peringatan kepada Jeong In. Tertera salah satu mesej bertulis, “Sorry to notice too late, love you.

Gambar: Aju News

Sumber:  Yonhap News Agency, World Today News, The Straits TimesKorea JoongAng Daily, Koreaboo, News.Naver.com

The post Usus Pecah Dan Badan Penuh Lebam, Kisah Menyayat Hati Bayi 16 Bulan ‘Jeong In’ Maut Didakwa Didera Ibu Bapa Angkat appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments