MAIS Galak Orang Ramai Sucikan Harta Sepanjang Bulan Rajab

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini melancarkan sebuah kempen yang dinamakan Kempen Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.

Pelancaran disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abd Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS di sini hari ini.

Menerusi kempen itu yang dijadualkan sepanjang bulan Rajab 1442H ini, MAIS mengajak orang ramai untuk membersihkan harta yang diperolehi agar kehidupan yang dilalui penuh dengan keberkatan.

Wang Tidak Patuh Syariah merupakan wang atau harta tidak patuh syariah yang diperoleh daripada sumber yang haram seperti transaksi riba, hasil jualan barang curi, duit rasuah, hasil rompakan, duit loteri dan perlindungan insurans konvensional.

Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam betapa pentingnya mengurus harta dengan sempurna berlandaskan hukum syarak.

Pelbagai program diatur sepanjang bulan Rajab melalui kempen ini antaranya ialah hebahan info Wang Tidak Patuh Syariah, klip video penerangan, poster-poster yang menarik, webinar kesedaran mencari rezeki yang halal dan kuliah-kuliah penerangan di masjid dan surau secara atas talian. 

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung aktiviti kempen ini bolehlah mengikuti perkembangan di media sosial MAIS iaitu Facebook Majlis Agama Islam Selangor.

Bagi masyarakat yang ingin melupuskan Wang Tidak Patuh Syariah bolehlah dibuat secara atas talian menerusi https://ift.tt/3ug2JIT.

Semoga seluruh umat Islam dapat memanfaatkan bulan Rajab ini dengan menyucikan harta melalui pelupusan Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS dan mudah-mudahan diberkati oleh Allah SWT.

Penyerahan poster Kempen WTPS daripada YAD Tan Sri Dato Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS kepada YBhg. Dr. Haji Ahmad Shahir bin Makhtar, Setiausaha MAIS turut diadakan sebagai simbolik pelancaran kempen.

The post MAIS Galak Orang Ramai Sucikan Harta Sepanjang Bulan Rajab appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments