Koma 10 Bulan Akibat Kemalangan, Remaja Dilapor Tidak Ketahui Tentang Pandemik COVID-19 Yang Sedang Melanda

Seorang remaja yang tersedar daripada koma selama sepuluh bulan tidak menyedari situasi pandemik COVID-19 walaupun telah dijangkiti virus itu sebanyak dua kali.

Menurut The Guardian, Joseph Flavill, 19 telah dilanggar kereta ketika sedang berjalan di Staffordshire, Britain pada 1 Mac tahun lalu. Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira tiga minggu sebelum perintah berkurung dilaksanakan di negara tersebut.

Tambah portal berkenaan, Joseph yang mengalami kecederaan pada otak telah koma selama berbulan-bulan. Pun begitu, dia kini sudah menunjukkan tanda-tanda semakin pulih dan mula memberikan respon.

“Dia tidak tahu apa-apa mengenai pandemik kerana dia ‘tidur’ selama sepuluh bulan. Kini kesedarannya semakin pulih dan kami tak tahu apa yang dia tahu,” kata ibu saudara Joseph, menceritakan kepada The Guardian.

“Saya tak tahu nak mulakan dari mana. Tak tahu bagaimana Joseph akan faham apa yang telah kita lalui,” ujarnya lagi.

Kata wanita itu, keluarga mereka telah cuba menjelaskan kepada Joseph melalui panggilan video bahawa mereka tidak dapat menemaninya akibat kekangan koronavirus.

“Bila dia terjaga di dalam bilik, dia tidak tahu kenapa dia berada di situ. Kami ada bercakap tentang perkara itu melalui telefon, dan kami cuba memberitahunya bahawa kami ingin berada di sana memegang tangannya, namun tidak boleh kerana COVID-19.

Mangsa kini dilaporkan sudah boleh mula menggerakkan sendi apabila diminta dan mampu berkomunikasi dengan orang sekeliling melalui senyuman dan kedipan mata.

Joseph telah dijangkiti COVID-19 sebanyak dua kali sepanjang proses pemulihan namun sembuh daripada kedua-dua jangkitan itu, tulis The Guardian.

Sumber: The Guardian

The post Koma 10 Bulan Akibat Kemalangan, Remaja Dilapor Tidak Ketahui Tentang Pandemik COVID-19 Yang Sedang Melanda appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments