“Jumpa Lagi, Doakan Saya….”, Viral Abang Foodpanda Pikul ‘Panda’ Atas Bahu, Buat Kenangan “Last Day” Sebelum Gantung Beg

Hari demi hari, pasti ada-ada saja ‘cerita’ tentang abang-abang rider Foodpanda yang selalu berlegar di media sosial.

Ada cerita sedih; abang Foodpanda hantar makanan sambil redah hujan. Ada cerita sayu; abang Foodpanda kongsi makanan dengan kucing, ada cerita cemas; abang Foodpanda ‘enter-frame’ dalam video kes jenayah dan macam-macam lagi.

Terbaharu, seorang pemuda yang juga bekerja sebagai penghantar makanan Foodpanda, Uzair juga berkongsi detik sedih bersempena hari-hari terakhirnya sebagai rider.

Namun apa yang menarik perhatian netizen ialah dia memuat naik beberapa foto ketika ‘bertugas’ sambil ‘membawa’ seekor beruang panda bersamanya.

Hairan dengan kejadian itu, foto-foto tersebut tular dan menjadi perhatian netizen; macam mana Uzair boleh pikul seekor panda liar di atas motosikalnya sewaktu sedang menghantar barang.

Gambar: Uzair
Gambar: Uzair

Rupa-rupanya, panda yang ‘dibawanya’ bersama di atas motosikal itu bukanlah panda sebenar, tetapi hanyalah imej yang telah disunting melalui teknik ‘super impose’.

Menurut satu perkongsian di Instagramnya, Uzair atau nama sebenarnya Ahmad Uzair Abd Halim, 22, berkata, dia bergambar sedemikian adalah kerana mahu mengakhiri perjalanan kerjayanya sebagai penghantar makanan.

Tujuannya adalah kerana mahu kembali ke Mesir tidak lama lagi bagi menyambung semula pengajiannya dalam bidang Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar yang tertangguh akibat COVID-19 sebelum ini.

Mengimbas kembali, Uzair terpaksa pulang ke tanah air sekitar April tahun lalu (beberapa hari sebelum Ramadan), ketika pandemik baru bermula di seluruh dunia termasuk di Mesir sewaktu itu.

Gambar: Uzair

Jelasnya, dia mula menjadi penghantar makanan Foodpanda pada awal bulan 12 lalu. Sepanjang tempoh itulah waktu ‘cuti’ panjangnya dipenuhi dengan pelbagai kerja sampingan, antaranya termasuklah penghantar makanan.

Difahamkan, anak jati Serdang, Kedah ini bakal terbang semula ke Mesir pada 16 Feb ini bagi menyambung semula pengajiannya.

Sebagai tanda ‘terima kasih’ buat Foodpanda yang telah memberikannya peluang mencari rezeki ketika muim pandemik ini, sebab itulah Uzair meletakkan imej panda bersamanya dalam gambar tersebut.

Dalam masa sama, dia juga turut menitipkan kata-kata semangat dan ucapan terakhir buat rakan-rakannya di Instagram. Semoga perjalanan Uzair kembali ke Mesir dipermudahkan. Insya-Allah.

Sumber: Instagram Uzair

The post “Jumpa Lagi, Doakan Saya….”, Viral Abang Foodpanda Pikul ‘Panda’ Atas Bahu, Buat Kenangan “Last Day” Sebelum Gantung Beg appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments