Hajat Nak Sarung ‘Uniform’ Polis Tak Kesampaian, Adik Ammar Penghidap Kanser Meninggal Dunia

Jika seseorang itu berhajatkan sesuatu tapi akhirnya ditakdirkan meninggal dunia dan tidak sempat ditunaikan, itu adalah saat yang paling perit dirasakan.

Apatah lagi jika insan tersebut adalah darah daging kita sendiri. Namun tidak dapat tidak, kita perlu menerima takdir Allah SWT dengan hati terbuka. Dia lebih Maha Mengetahui segala-galanya.

Aktivis kemanusiaan, Puan Natipah Abu baru-baru ini berkongsi tentang kisah pilu seorang kanak-kanak pejuang kanser yang tidak kesampaikan menunaikan hajatnya sendiri kerana Allah SWT terlebih dahulu mengambil nyawanya kembali.

Mari ikuti kisah sebak ini.

Gambar: Natipah Abu

اِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

Ammar pergi jua akhirnya..

2:05 PM: mesej suara dari ibu Ammar, “Kak, baju polis Ammar yang kak suruh buat dah siap. Tapi Wani tak boleh bagi dia pakai. Wani bagi dia tengok ja baju tu. Ammar tak larat dah kak. Ammar ada tanya bila kak nak mai tengok dia lagi..”

2:06 PM: mesej balas Kak Pah, “Allah Wani, Kak ada Perak. Ada program. Boleh tak Wani bagi gambar dia kat Kak. Wani rakam dia bagi Kak tengok sat. Dia ingat Kak lagi ka Wani?”

2:07 PM: masuk gambar Ammar.

2:08 PM: mesej Kak Pah kepada ibu Ammar, “Esok Kak pi kat Ammar, Wani..”

2:11 PM: video Ammar pun masuk. Berjurai air mata Kak Pah menatap wajah Ammar. Ammar ternyata semakin tenat.

2:14 PM: mesej Kak Pah kepada Wani meminta dia tabah,

6:15 PM: ketika sedang memandu pulang dari Perak di Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Sungai Petani, masuk mesej dari ibu Ammar, “Ammar dah tak ada Kak..”

****

Imbas kembali kisah Ammar.

Jumaat 20 November.

Sedekah Jumaat kita diakad dengan niat membeli mesin bantuan oksigen kepada Mohd Ammar Dhani Bin Mohd Azuan (enam tahun) yang mengidap kanser darah sejak usianya dua tahun.

Ammar, anak lelaki tunggal dari empat orang adik-beradik ini, kini semakin sampai ke penghujung perjuangannya bila doktor memaklumkan bahawa daripada segi sains dan teknologi perubatan, sudah tiada lagi kaedah yang mampu diusahakan untuk merawat Ammar.

Maka itu Ammar dibenarkan pulang dan memerlukan sebuah mesin oksigen untuk menyokong sistem pernafasannya.

Ammar kini semakin lemah, sebelah tangan dan sebelah kakinya mulai ‘longlai’ selain pendengarannya yang kian merosot. Matanya juga kelihatan bengkak sebelah. Ini terjadi kerena sel kanser telah merebak ke otaknya.

Mesin bantuan oksigen telah pun selamat ke penerimaan Ammar dan itulah talian hayat Ammar buat masa ini. Tanpa mesin itu, pernafasan Ammar mula tersekat dan bacaan SPO Ammar juga menurun.

Ammar sudah hilang selera makan. Baru-baru ini, Ammar menyatakan hajat teringinkan buah durian. Ayah Ammar berusaha mencari durian yang dihajatkan. Sekarang bukanlah musim durian tetapi Alhamdulilah, rezeki Ammar dapat juga buah durian. Tetapi Ammar hanya makan seulas saja.

Ammar minat sekali dengan robot Tranformers. Dulu, ibu dan ayah tidak mampu belikan sangat sebab berapalah pendapatan ayah. Tapi kini, semua itu bukan lagi alasan. Yang penting, senyuman di wajah Ammar yang kian hilang itu terukir kembali.

Kebelakangan ini, Ammar kelihatan banyak termenung. Takut sekali kedua ibu dan ayah hendak bertanya apa yang difikirkan Ammar. Takut kelak hancur hati mendengar jawapan dari Ammar.

Alhamdulillah. Dengan wang hasil sumbangan Sedekah Jumaat yang kita kumpul beramai-ramai itu, membolehkan kita membayar harga mesin bantuan oksigen untuk Ammar.

Kita juga menyerahkan sejumlah wang tunai buat kedua ibu dan ayah Ammar bagi mempermudahkan segala urusan mereka ke atas Ammar dalam meniti hari-hari terakhirnya termasuklah memenuhi apa saja kehendaknya. Sumbangan itu disambut dengan linangan air mata oleh kedua pasangan muda itu.

Sebelum sakitnya tiba-tiba menyerang pada 9 November lalu, Ammar ada meminta dibelikan pelampung. Dia berhajat sangat untuk mandi di kolam dengan menggunakan pelampung itu.

24 November

Kita menghantar Ammar ke berehat di Lexis Suite Penang bersama ibu ayah dan tiga adik-beradiknya. Kita juga membuat kejutan dengan menjemput team Starwars meraikan Ammar.

5 Disember

Sekali kita memenuhi hasrat Ammar berehat di hotel, kali ini kita pilih Bayview Beach Resort dan kali ini percutiannya berbentuk peribadi. Hanya ayah dan ibu sahaja , tanpa adik-adik yang lain atas permintaan Ammar sendiri.

4 Februari

Kali terakhir Kak Pah menyantuni Ammar. Membawakan sebuah jam dan meminta ibunya carikan tukang jahit untuk menyediakan sepasang seragam polis buat Ammar seperti yang dimintanya pada hari itu. Ammar sangat berminat dengan badan berunifom itu.

Sebelum ini, PDRM juga ada membawa Ammar menaiki kereta peronda polis. Jadi kali ini, Ammar minta uniform polis. Tapi sayang, rupanya uniform polis ini kenangan terakhir dari Ammar buat ibu dan ayah.

Hari ini, khabar sedih ini yang selama ini menjadi mimpi ngeri ibu dan ayah akhirnya tiba. Tabahlah duhai ibu dan ayah..Ammar sudah tenang di sana. Tiada lagi kesakitan buat wildan syurga ini.

Al-Fatihah buatmu sayang..

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين

Sumber: Natipah Abu

The post Hajat Nak Sarung ‘Uniform’ Polis Tak Kesampaian, Adik Ammar Penghidap Kanser Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments