Daripada Pengusaha Syarikat Bas, Kini Jual Air Kelapa

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) — Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik COVID-19 bukan penghalang buat golongan rentan seperti B40 untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Di sebalik mengharapkan bantuan kerajaan, mereka perlu berikhtiar demi kelangsungan hidup dalam waktu mencabar ini.

Presiden Persatuan Wanita Ibu Tunggal (WITUS) Shiella Tukimin yang sebelum ini mengusahakan syarikat sewaan bas juga terkesan teruk akibat COVID-19, namun beliau dengan pantas mencari lubuk rezeki baharu, menjual air kelapa tanpa sebarang insentif kerajaan.

”Sedia maklum hampir setahun juga bas tidak beroperasi, kami sangat tertekan dan cara saya mengatasinya adalah menjana pendapatan sendiri.

“Saya menjalankan perniagaan membekal dan menjual kelapa muda dan air tebu. Jadi saya membeli sebuah lori dan daripada situ saya menghantar, menjadi pembekal buah kelapa muda untuk diniagakan rakyat yang terkesan bagi mencari pendapatan sampingan,” katanya kepada Bernama TV.

Shiella berkata walaupun pendapatannya tidak seperti dahulu, usaha itu membolehkannya mengharungi kehidupan dalam tempoh sukar ini.

Tindakan Shiella juga disokong Ketua Pendidikan Kewangan Isi Rumah Agensi Khidmat Pengurusan Kewangan (AKPK) Nirmala Supramaniam.

”Elemen pendapatan itu haruslah dipelbagaikan di waktu ini. Kita kena ada sokongan dan sila berhati-hati dengan realiti jenayah kewangan yang banyak berleluasa sekarang.

”Tolong hati-hati dalam proses pelbagaikan pendapatan, jangan pula hilang kesemuanya,” kata Nirmala ketika dihubungi secara sidang video.

Nirmala berkata walaupun pelbagai insentif disediakan kerajaan termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, Kita Prihatin dan pelbagai lagi, namun berusaha sendiri seperti Shiella harus dipuji.

— BERNAMA

The post Daripada Pengusaha Syarikat Bas, Kini Jual Air Kelapa appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments