‘Cherry’ Dan Rakan-Rakan Rindukan Pengunjung

TEMERLOH, 27 Feb – ‘Cherry’ dan rakan-rakan, antara sekumpulan gajah yang ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah di sini, kini menantikan kehadiran pengunjung selepas hampir empat bulan tidak bertentang mata.

Selain ‘Cherry’, ‘Rambai’ dan ‘Abot’ seolah-olah rindu untuk menghiburkan pelawat dengan persembahan mereka selepas ‘terpisah’ susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banjir yang melanda Pahang pada awal tahun ini.

Ketua PKGK Kuala Gandah Muhammad Khairul Adha Mat Amin berkata orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke pusat berkenaan yang telah dibuka semula pada 22 Feb, dengan mereka masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Berikutan rentas negeri dan daerah masih belum dibenarkan, beliau menggalakkan pengunjung tempatan terutama penduduk di Lanchang dan Temerloh untuk melawat ‘warga’ PKGK yang tidak sabar untuk beraksi di hadapan mereka, sekali gus dapat merancakkan semula sektor pelancongan negara.

Meskipun tempat ini tidak dibuka kepada orang ramai selama beberapa bulan, menurut beliau mahut atau penjaga gajah giat menjalani latihan bersama mamalia itu.

“Sudah menjadi rutin bagi mahut membuat latihan bersama gajah yang dijaga mereka dengan melakukan rondaan gajah di dalam hutan dan bermalam di sana, latihan seumpama ini perlu untuk kekalkan ‘fitness’ (kecergasan) dan kemahiran haiwan itu sendiri.

“Kita memang harap orang ramai datang jumpa dengan Cherry dan rakan-rakan lain yang dah rindu dengan pelawat, lama mereka tidak jumpa, cuma kita minta kerjasama patuhi SOP yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

Dalam usaha memastikan pengunjung mematuhi SOP sedia ada pula, Muhammad Khairul Adha berkata pelawat digalakkan menggunakan khidmat pemandu pelancong dengan bayaran RM30 dikenakan untuk maksimum 10 orang bagi seorang pemandu pelancong.

“Pemandu pelancong ini terdiri daripada penduduk tempatan yang bekerjasama dengan PKGK untuk membawa pelawat melihat dan menerangkan aktiviti serta perihal gajah di Kuala Gandah ini…pada masa yang sama mereka dapat pastikan pelawat mematuhi SOP yang digariskan,” katanya.

Pengunjung yang hadir akan berpeluang memberi gajah makanan seperti buah tembikai, tebu dan rumput napier, selain melihat haiwan berkenaan mandi di sungai yang terdapat di pusat berkenaan.

Buat masa ini, beliau berkata aktiviti di dalam bangunan seperti tayangan video dihentikan sementara waktu.

PKGK yang berkeluasan 20 hektar tersebut menempatkan 32 ekor gajah yang diberikan nama mengikut lokasi mereka ditemukan dan pusat itu mula menerima pelawat bermula pukul 10.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari tanpa sebarang bayaran dikenakan.

“Gajah tertua di sini berusia 85 tahun dikenali sebagai ‘Loki Mala’ dan paling muda berusia enam bulan iaitu ‘Kelaik’. Kita dalam perancangan untuk naik taraf tempat ini secara berperingkat terutama melibatkan kemudahan gajah itu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, selain gajah denak betina sedia ada iaitu ‘Abot’ dan ‘Rambai’, pihaknya kini sedang melatih ‘Alam’ dan ‘Sanom’ yang mana Sanom kini sudah menjalani ‘praktikal’.

— BERNAMA

The post ‘Cherry’ Dan Rakan-Rakan Rindukan Pengunjung appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments