Bina ‘Campervan’ Sendiri Penuhi Impian Mengembara

KUALA LUMPUR, 5 Feb — Bagi memenuhi impiannya mengembara, Mohd Asri Mohd Nawawi menghasilkan sendiri campervan (van perkhemahan) daripada van mini berjenama Daihatsu Hijet s85, setelah berjaya mengubah suai kereta Perodua Kancil miliknya, menjadi campercar kira-kira dua tahun lepas.

Anak kelahiran Kroh, Perak ini berkata pengubahsuaian van mini berwarna hijau yang popular dikenali sebagai ‘van pasar malam’ itu, dipelajarinya melalui laman sosial YouTube dan 100 peratus dihasilkannya sendiri.

“Saya memang minat menonton YouTube mengenai campervan conversion dari luar negara, jadi terdetik dalam hati saya untuk membuatnya tetapi dalam versi Malaysia.

“Bahkan, van ini saya beli secara dalam talian di Kajang pada Nov lepas. Asalnya, keadaan van ini kosong malah saya perlu membaiki beberapa bahagian seperti enjin dan pintu terlebih dahulu sebelum dibawa pulang ke Perak,” katanya kepada Bernama.

Menariknya, Mohd Asri, 31, yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Pulau Perhentian, Terengganu sejak tahun 2014 turut berkongsi dalam bentuk video berepisod, iaitu CamperHijet di saluran YouTube Aceyie Channel mengenai segala proses pengubahsuaian yang dilakukanya.

“Ia diharap dapat memberi dorongan dan idea kepada peminat campervan untuk memulakan aktiviti dan hobi yang santai itu …saya seronok buat kerja-kerja pertukangan ini walaupun tiada pengalaman,” katanya mengakui hobi ini bergantung kepada bajet, kegunaan dan keselesaan sendiri.

Bercerita lanjut, pemuda ini berkata campervannya itu persis sebuah rumah bergerak kerana dilengkapi dengan ruang rehat, tempat tidur, kabinet, langsir, kipas pengudaraan, sistem solar yang berfungsi untuk menjana tenaga elektrik serta ruang penyimpan kargo di atas bumbung dengan kos sekitar RM3,000.

“Saya membuat pengubahsuaian di bahagian belakang van dengan membuat lantai kayu menggunakan papan lapis manakala bagi tempat duduk penumpang belakang ia adalah bersifat mudah alih.

“Saya gemarkan susun atur yang ringkas namun kemas, sesuai dengan situasi saya yang suka melakukan pengembaraan secara solo. Tapi van ini boleh memuatkan sehingga dua orang dalam satu-satu masa,” katanya yang mengambil masa enam minggu untuk membuat pengubahsuaian van tersebut.

Pada asalnya, Mohd Asri berhasrat untuk mengembara secara solo di seluruh negara bersama campervannya itu, namun terbantut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Jan lepas.

“Jadi, buat masa ini, saya hanya melakukan sedikit penambahbaikan bagi memberi lebih keselesaan selain meluangkan masa dengan ibu bapa untuk menikmatinya walaupun hanya di depan rumah,” katanya.

Lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ini turut menyimpan impian untuk membina sendiri sebuah rumah mini yang dilengkapi semua kemudahan termasuk bilik tidur, ruang tamu, dapur, ruang makan dan tandas.

Sumber: BERNAMA

The post Bina ‘Campervan’ Sendiri Penuhi Impian Mengembara appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments