Azizulhasni Cerita Kisah Tak Pernah Dipersenda ‘Mat Saleh’ Walau Cakap ‘Broken English’ Di Australia

Bak kata pepatah, seperti makan bangkai saudaranya sendiri yang sudah mati. Maksudnya, mereka suka merendah-rendahkan seseorang jika melakukan kesalahan.

Bukan kerja kita untuk menghukum seseorang itu tetapi berpadalah dengan menegur dengan cara yang baik dan tidak memalukan mereka. Situasi ini sangat kerap berlaku dalam kehidupan masyarakat kita.

Mungkin orang yang melakukan kesalahan itu sedang belajar atau tidak tersengaja sehinggakan menjadikan bahan ketawa orang lain. Seperti video seorang guru yang dipersenda oleh seseorang yang tidak bertanggungjawab ketawakan guru tersebut ketika salah menyebut perkataan itu mendapat tentangan ramai.

Hal ini juga mendapat perhatian daripada pelumba basikal negara, Azizul Hasni Awang. Beliau mula ‘throwback’ pernah diketawakan ketika salah menyebut perkataan semasa tiba di Melbourne dahulu, tetapi apa yang mengejutkan orang barat lebih menghargainya dan mengajar perkara yang betul.

Ikuti kisah daripada pelumba basikal negara ini untuk kita jadikan teladan dan pengajaran untuk diri kita dan orang lain.

Tahun 2007 masa saya baru-baru sampai ke Melbourne dulu, saya ingat lagi, saya dan rakan sepasukan menghadiri ‘bbq party’ dengan sebuah komuniti melayu di Melbourne. Ni bukan party cucuk langit ye korang, ni aktiviti biasa di perantauan, buat bbq di mana-mana taman (park) dan berkumpul untuk beramah mesra dan kenal antara satu sama lain.

Dalam komuniti tersebut ramai yang melanjutkan PHD, kira hebat dan bukan bishe-bishe lah. PHD yang saya maksud tersebut bukanlah Perasaan Hasad Dengki tetapi adalah Doctor of Philosophy ye.

“Suka take part in conversation seban nak tingkatkan kemahiran komunikasi…”

Jadi saya ni macam biasalah, suka take part in conversation walaupun tak kenal atau baru-baru kenal dengan orang. Ini adalah kerana saya ingin tingkatkan kemahiran komunikasi serta penguasaan bahasa Inggeris saya yang ketika itu berada pada tahap bishe-bishe sajer.

Ntah macam mana our conversation adalah berkenaan dengan Chromosome, DNA dan RNA semua ni lah. Dalam kepala saya teringat kereta Proton Gen2 di pasaran Malaysia. Kite sebut Gen2 adalah ‘Jen Tu’ kan. Jadi saya dengan yakinnya menyebut ‘Jen’ untuk merujuk kepada ‘Gene’(terdiri dari DNA-boleh google kalau tak tahu) dan sebutan saya itu salah. Sebutan yang betul adalah ‘Jin’ ( tak ada kaitan dengan jin pakai toncet ye kawan-kawan).

Sebutan salah, ada orang gelakkannya..tapi lain pula jadinya apabila…

Terus saya di gelakkan oleh dua pelajar PHD yang berbangsa Melayu. Yang si perempuan tu gelakkan sambil berpusing ke belakang dan meletakkan tangan ke dahinya. Dan yang lelaki pula acah-acah tersembur air dari mulutnya yang ketika itu tengah minum air sirap merah.

Kedua-keduanya langsung tidak memberitahu akan kesilapan saya itu dan saya tahu pun selepas ada antara rakan mereka itu menceritakan kepada saya setelah di canang-canang kisah tersebut. Saya langsung tidak sakit hati dan marah, kerana saya tahu tahap saya dan saya masih lagi dalam proses untuk belajar. Itulah sikap orang melayu kita kawan-kawan yang dikasihi sekalian.

Itu sekitar tahun 2007 tu, ni kita dah masuk era baru tahun 2021 pun, masih ramai dari kalangan kita yang mempunyai perangai menggelabah seperti itu.

Berbeza pula apabila saya berada di kalangan Mat Salleh (orang Barat). Bukannya nak puji mereka, tapi akhlak mereka sangat jauh terpuji dari bangsa kita. Banyak kali saya tersilap ketika berkomunikasi, tetapi mereka membantu perbetulkan sama ada dari segi grammar mahupun sebutan dan sebagainya.

Langsung tidak ada gelak-gelak memperlekeh dan jauh sekali mereka memerli. Berdasarkan pengalaman saya, 100% dari mereka semuanya begitu dan belum pernah saya digelakkan mereka kerana membuat kesilapan ketika berkomunikasi. Dan di kalangan rakan-rakan Mat Salleh saya, ada antara mereka yang mempunyai grammar berterabur juga walaupun mereka itu lahir dalam keluarga Mat Salleh.

Ada juga yang tidak fasih mengeja dan mereka siap rujuk kepada saya untuk ejaan. Dan perlu diketahui yang bahasa Inggeris ini mempunyai terlalu banyak ‘Slang’ atau loghat yang berbeza-beza sebutannya.

Pengalaman mengembara seluruh dunia dan khususnya ketika berada di Sukan Olimpik, disitu ada pelbagai bangsa dari pelbagai negara, siap ada negara yang kita tak pernah tahu kewujudannya. Apabila berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, mereka juga mempunyai kesulitan untuk memahami loghat masing-masing, tetapi mereka ni tetap menghormati antara satu sama lain dan ini lah contoh yang kita perlu pelajari.

“Bukannya nak mempertahankan mereka yang membuat kesalahan…”

Saya bukannya nak mempertahankan mereka yang membuat kesalahan dalam bahasa Inggeris ini, tetapi jangan kita memperlekeh dan merendahkan orang lain atas sebab itu.

Mereka yang kurang fasih ini juga, nasihat saya jangan bangga kerana anda tidak fasih, tetapi sentiasa cari ruang untuk meningkatkan kemahiran komunikasi anda dan jangan cepat putus asa.

Mereka yang pandai pula, bantulah mereka yang kurang pandai ini. Bukankah satu perasaan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit apabila kita berjaya membantu orang lain.

Dan jika semua dari kita mempunyai sikap yang sama seperti ini, tidak ada sebab untuk masyarakat kita tidak melangkah maju ke hadapan. Kalau kita lihat dari segi pembangunan negara, kita sudah tidak jauh untuk mencapai status ‘Developed Country’ akan tetapi jika kita lihat dari segi sikap dan mentaliti pula, saya minta maaf, kita masih sangat jauh di belakang.

Minta maaf minta ampun rakan-rakan sekalian jika saya ada tersilap kata atau menyakiti sesiapa di luar sana. Saya harap nukilan ini membantu untuk membuka mata masyarakat kita untuk ke arah yang lebih baik. Akhir kata dari saya, saya kongsikan kata-kata dari Jackson Brown Junior,

“Never make fun of someone who speaks broken English. It means they know another language”

Sekian saja dari saya.

 

Sumber: AzizulAwang

The post Azizulhasni Cerita Kisah Tak Pernah Dipersenda ‘Mat Saleh’ Walau Cakap ‘Broken English’ Di Australia appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments