(Video) Bayi Pramatang ‘Ditinggal’ Pasangan Jemaah Di Mekah Kembali Ke Pangkuan Selepas Setahun Tak Bersua

Setiap ibu bapa pasti sukar untuk berpisah dengan anak lebih-lebih lagi anak yang masih bayi. Mereka sanggup berkorban apa saja untuk memastikan keselesaan dan kesihatan anak dijamin dan dijaga. Namun, kisah pasangan jemaah umrah ini begitu tragis kerana terpaksa meninggalkan anaknya di Makkah setelah menunaikan umrah.

Bayi kepada pasangan dari Pakistan ini dilahirkan dalam keadaan pramatang dan terpaksa ditinggalkan selama setahun untuk diberi rawatan yang secukupnya.

Pasangan suami isteri Ghulam Haider dan Hajra mempunyai tempoh visa yang hampir tamat dan dengan sebak mereka perlu meninggalkan bayi mereka untuk diserahkan kepada pihak hospital. Bayi yang bernama Abdullah telah dilahirkan pada 9 Januari 2020 dengan berat 1 kg dan dirawat selama setahun di Makkah.

Saksikan video bayi tersebut dipulangkan ke pangkuan ibu bapanya setelah setahun berpisah di bawah :

Abdullah telah diberi rawatan di hospital bersalin dan anak-anak di Makkah dengan rawatan ventilator selama 46 hari di bawah jagaan doktor dan beberapa konsultan perubatan hospital.  Setelah itu, Abdullah telah dipindahkan ke bilik rawatan khas di bawah Departmen Pelayanan Sosial.

“Kami terpaksa meninggalkan bayi kami di hospital kerana tempoh visa kami hampir tamat. Kami juga tidak dapat kembali ke sana disebabkan pandemik Covid-19”, kata Hajra.

“Pada awalnya kami sangat bimbang dengan keadaan bayi kami di sana, namun pihak hospital sering menghubungi kami dan menunjukkan gambar dan video Abdullah,” jelasnya.

Justeru, Hajra sangat berterima kasih kepada pihak pentadbiran hospital, doktor, dan konsultan Pakistan di Jeddah kerana telah memberi rawatan sepenuhnya kepada bayi mereka sehingga Abdullah kembali normal dan sihat. Kini, Abdullah telah dipulangkan kembali bersama ibu bapanya setelah mendapatkan rawatan selama setahun.

Ayah Abdullah yang berkerja di sebuah klinik kecil perubatan di Quetta mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak delegasi Pakistan kerana telah memulangkan kembali anaknya.

“Selama setahun anak kami diberi rawatan di sana, kami tidak dikenakan sebarang bayaran. Semua telah ditanggung oleh Pemerintah di Arab sana”, jelasnya.

Sumber: Kumparan.com

The post (Video) Bayi Pramatang ‘Ditinggal’ Pasangan Jemaah Di Mekah Kembali Ke Pangkuan Selepas Setahun Tak Bersua appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments