Susah Tidur Malam Dan Badan Letih? Ini Mungkin Penyakit Yang Anda Terlepas Pandang

Seperti yang kita sedia maklum, tidur yang mencukupi akan membuatkan badan kita berasa lebih segar dan memenuhi tenaga dalam pekerjaan dalam seharian. Namun, pernah tak bila balik kerja dalam keadaan letih , tapi susah nak lelapkan mata untuk tidur? Mari lihat perkongsian Hello Doktor tentang perkara itu.

Pernahkah anda mengalami keadaan ini? Susah tidur dan asyik berasa lesu, hingga merasakan kesihatan diri merudum.

Baru-baru ini, anda juga mungkin hampir terlibat dalam kemalangan kerana kurang tumpuan diberikan semasa memandu. Jangan diabaikan, kemungkinan anda mengalami masalah susah tidur atau insomnia.

Apakah itu insomnia?

Insomnia adalah gangguan tidur biasa, boleh mengakibatkan anda susah tidur nyenyak atau bangun terlalu awal dan tidak dapat tidur semula.

Anda juga mungkin akan rasa sangat letih dan lesu ketika bangun tidur. Ia bukan sahaja boleh mengurangkan tahap tenaga dan mood anda, bahkan kesihatan, prestasi kerja dan kualiti hidup.

Selalunya, ramai orang dewasa mengalami insomnia jangka pendek (akut), yang berlangsung selama beberapa hari atau minggu. Ia biasanya berpunca daripada tekanan atau kejadian traumatik.

Namun, sesetengah orang mengalami insomnia jangka panjang (kronik) yang berlangsung selama sebulan atau lebih.

Keadaan susah tidur ini boleh terjadi dengan sendirinya, ataupun hanya salah satu gejala yang muncul akibat masalah kesihatan lain.

Jumlah tidur yang diperlukan

Setiap orang memerlukan jumlah tidur yang berbeza. Secara puratanya, ini berapa jumlah tidur yang diperlukan anda:

  • Dewasa: 7 hingga 9 jam
  • Kanak-kanak: 9 hingga 13 jam
  • Kanak-kanak kecil dan bayi: 12 hingga 17 jam

Kelaziman masalah susah tidur

Kajian yang melibatkan sejuta responden di Amerika Syarikat mendedahkan 21% daripada jumlah responden mempunyai masalah susah tidur.

Selain itu, ia juga mempengaruhi wanita lebih daripada lelaki, dan keadaan ini akan menjadi lebih teruk dengan peningkatan umur.

Tanda dan gejala insomnia

Walaupun insomnia sering dikaitkan dengan masalah susah tidur, terdapat simptom lain yang umum terjadi, termasuklah:

  • Kesukaran untuk memulai tidur pada waktu malam
  • Sering terbangun di tengah malam
  • Bangun terlalu awal di waktu pagi
  • Berasa lesu walaupun selepas tidur malam
  • Keletihan atau mengantuk pada waktu siang
  • Kerengsaan, kemurungan atau kegelisahan
  • Kesukaran menumpukan perhatian, sukar untuk memberi tumpuan terhadap tugas dan sukar untuk mengingati sesuatu
  • Kesalahan atau kemalangan yang semakin meningkat
  • Kebimbangan mengenai tidur yang berterusan

Sekiranya keadaan susah tidur mengganggu kehidupan harian anda pada waktu siang, sila berjumpa dengan doktor untuk mengenal pasti punca masalah dan cara mengatasinya.

Punca insomnia

Insomnia merupakan masalah utama, atau mungkin berkaitan dengan keadaan lain.

Punca insomnia kronik biasanya berkait dengan tekanan, peristiwa hidup atau tabiat yang mengganggu tidur. Punca insomnia kronik yang biasa termasuklah:

#1 Stres

Kebimbangan mengenai pekerjaan, sekolah, kesihatan, kewangan atau keluarga menyebabkan minda anda aktif pada waktu malam, sehingga sukar untuk tidur.

Tekanan peristiwa hidup atau trauma seperti kematian orang tersayang, perceraian atau kehilangan pekerjaan juga boleh mengakibatkan insomnia.

#2 Jadual perjalanan atau kerja

Irama sirkadian berfungsi sebagai jam dalaman untuk tubuh anda, membimbing perkara seperti kitaran tidur, metabolisme dan suhu badan.

Kegangguan irama ini boleh menyebabkan keadaan susah tidur. Puncanya seperti perbezaan zon waktu semasa mengembara, bekerja syif yang terlalu awal atau lambat atau syif yang sering berubah.

#3 Tabiat tidur yang buruk

Tabiat tidur merangkumi jadual waktu tidur yang tidak teratur, tidur siang, aktiviti merangsang sebelum tidur, dan persekitaran tidur yang tidak selesa.

Selain itu, menonton skrin atau bermain permainan video sebelum tidur juga boleh mengganggu kitaran tidur anda.

#4 Makan banyak sebelum tidur

Makan dalam jumlah yang banyak sebelum tidur akan membuat anda merasa tidak nyaman ketika berbaring, sehingga susah tidur.

Ramai orang juga mengalami pedih ulu hati, dan aliran balik asid dan makanan dari perut ke kerongkong setelah makan, yang mungkin membuat anda terjaga.

#5 Kafein, nikotin dan alkohol

Kesemua bahan di atas bertindak sebagai perangsang yang boleh mengganggu tidur anda. Alkohol boleh membantu anda tertidur, tetapi ia menghalang tahap tidur yang lebih dalam dan sering menyebabkan terjaga di tengah malam.

#6 Masalah kesihatan

Terdapat sesetengah masalah kesihatan yang boleh mengakibatkan susah tidur, misalnya sakit kronik, kanser, diabetes, penyakit jantung, asma, tiroid yang terlalu aktif dan sebagainya.

Komplikasi keadaan susah tidur

Corak tidur yang konsisten sama pentingnya dengan diet yang sihat dan aktiviti fizikal untuk kesihatan anda.

Susah tidur boleh mempengaruhi anda dari segi mental dan fizikal, serta menyebabkan kualiti hidup yang lebih rendah berbanding dengan orang yang tidur nyenyak.

Beberapa komplikasi insomnia termasuklah :

  • Prestasi di sekolah dan tempat kerja akan menurun
  • Reaksi terhadap sesuatu keadaan lebih lambat dan berisiko tinggi untuk mendapat kemalangan
  • Boleh mengakibatkan gangguan kesihatan mental seperti kemurungan dan kegelisahan
  • Meningkatkan risiko tekanan darah tinggi atau penyakit jantung dalam jangka masa panjang

Semoga perkongsian ini berguna buat anda. Dapatkan bantuan doktor jika masalah susah tidur anda itu telah berlanjutan dalam jangka masa yang agak lama!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber : HelloDoktor

The post Susah Tidur Malam Dan Badan Letih? Ini Mungkin Penyakit Yang Anda Terlepas Pandang appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments