MKN Garis Beberapa SOP & Syarat Sambutan Thaipusam

PUTRAJAYA, 26 Jan – Kerajaan memutuskan bahawa upacara bagi perayaan Thaipusam yang bakal diraikan pada Khamis ini adalah tidak dibenarkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, upacara di kuil tidak dibenarkan, sebaliknya semua penganut Hindu digalakkan untuk melakukan acara sembahyang di rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, kita beri pengecualian iaitu lima orang ahli jawatankuasa atau petugas kuil dibenarkan hadir ke kuil-kuil untuk jalankan upacara keagamaan.

“Aktiviti ziarah juga hanya dihadkan kepada sesisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Dalam pada itu, permohonan khas daripada pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee Kuala Lumpur untuk pergerakan membawa arca Dewa Murugan dari kuil tersebut ke Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves dipertimbangkan dan dibenarkan dengan syarat.

Menurutnya, tiada sebarang perarakan mengiringi pergerakan tersebut dan pedati atau yang membawa arca itu dibenarkan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman ke Batu Caves bermula pada pukul tiga pagi pada 27 Jan.

“Perarakan mengiringi dan upacara pecah kelapa tidak dibenarkan. Yang kita benarkan hanya 10 orang untuk bersama pedati tersebut dan mereka perlu berada dalam kenderaan yang membawa pedati termasuk pemandu dengan kawalan pihak polis.

“Pedati tersebut akan ditarik oleh kereta, dan pedati yang bergerak daripada Jalan Tun H S Lee perlu bergerak terus ke kuil di Batu Caves, tidak boleh ada persinggahan di mana-mana.

“Dan pedati juga akan bergerak balik dari Batu Caves menuju ke Jalan Tun H S Lee bermula pada pukul tiga pagi 29 Jan (Jumaat),” tambahnya lagi.

Selain itu, pihak pengurusan kuil perlu menyelaraskan perjalanan pedati serta jalan-jalan yang akan dilalui bersama pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Orang ramai tidak dibenarkan berada di pinggir jalan untuk menyaksikan pedati yang dibawa ke Batu Caves.

“Polis difahamkan aka berada di kawasan-kawasan atau jalan-jalan yang dilalui bagi memastikan tiada orang ramai berada di pinggir jalan,” katanya.

Sumber: RTM

The post MKN Garis Beberapa SOP & Syarat Sambutan Thaipusam appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments