“Ini Belum Lagi…”, Lelaki Kongsi Pengalaman Dapat ‘Kejutan’ Tak Disangka-sangka Ketika Berkelana Ke India

Setiap orang pastinya akan ada impian untuk merantau atau melancong ke negara lain namun masih tidak kesampaian kerana kekangan waktu dan wang.

Ditambah pula dengan pandemik COVID-19 pada ketika ini, pergerakan di dalam negara pun terbatas apatah lagi untuk ke luar negara.

Pun begitu, jika ada peluang pada satu hari nanti, merantaulah ke negara lain untuk melihat sendiri peradaban mereka dan menggapai pengalaman yang mungkin tidak pernah dirasai.

Menerusi kiriman Yamin Ismail di Facebook, beliau berkongsi mengenai pengalamannya semasa berkelana ke negara India.

Dipenuhi dengan pelbagai perkara yang tidak terjangka namun ia merupakan pengalaman yang paling bermakna buatnya. Ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Berkelana di beberapa bandar

Di India saya bersama rakan-rakan fotographer berkelana di beberapa bandar – New Delhi, Agra, Jodhpur, Pushkar dan Vrindhavan untuk memotret tempat-tempat menarik.

Seperti kata Steve McCurry, fotographer terkenal dengan potret The Afghan Girl dalam National Geographic “India adalah tugasan seumur hidup yang tidak akan habis.” McCurry telah memotret India selama 30 tahun.

Sewaktu tiba di lapangan terbang Indira Gandhi, New Delhi, pegawai imigresen dengan keseriusan penuh mengamati passport dan visa saya.

“First time in India?”

“Yes,”

Dia membubuh cop, meniup-niup cop yang masih basah, lalu mengembalikan buku passport dengan kedua tangannya sambil berkata, “Welcome to India!”

Sebelum datang ke India, saya dibayangi imaginasi filem Bollywood, imaginasi yang dibayangkan melalui potongan filem lagenda pada ketika itu – Kuch Kuch Hota Hai.

Dalam filem itu kita disogokkan betapa gagahnya si Rahul dengan baju ketat dan otot berketul, betapa cantiknya si Anjali dalam balutan sari yang menampakkan perut.

Dan betapa memukaunya mata besar dan rambut berkibar Rani Mukherji, betapa serba kebetulan yang mempertemukan kembali Rahul dan Anjali, betapa indahnya cinta dan cantiknya penamat cerita.

Semuanya bahagia. Dengan aliran air mata yang mengalir di pipi kanan dan kiri, semuanya tidur nyenyak dengan buaian mimpi indah.

Gambar Via Yamin Ismail

Namun sebaik keluar dari airport, merangkak naik bas Tata, mula menghirup udara India, fantasi sempurna saya tentang Bollywood hilang di tengah lautan sesak manusia India.

Tidak ada ratusan lelaki tampan dan perempuan berbalut sari yang menari secara kompak yang mengiringi nyanyian syahdu. Fantasi itu tenggelam dalam the busiest, the noisiest city in the world.

Telinga menjadi bingit dengan laungan hon kenderaan yang bersahutan tanpa henti. Hon itu bukan sahaja ekspresi “tolong bagi jalan”, tetapi juga “hello”, “apa khabar” dan “welcome to India.”

Manakala lorong, jalan, dinding, tembok, memancarkan aroma toilet yang tidak pernah disiram. Jangan terkasima, bau tajam urine kering meninggalkan jejak bau dan sudah tercium dari radius seratus meter.

Gambar Via Yamin Ismail

Kalau mahu bersih tembok luar rumah mesti dipasang gambar dewa dewi. Walau emergency setara manapun, tentu manusia tak sanggup kencing ke atas dewa bukan?

Ini belum lagi mengambil kira keadaan tandas di sesetengah tempat– seperti set filem horror.

Deretan kedai penuh dengan manusia. Seorang pekedai menjerit, “Hallo Japani! Konniciwa. Please come to my shop!” Di sudut lain sebuah kedai memutar klip video Chammak Callo yang memapar sari seksi Kareena Kapoor, manakala seorang remaja kurus mempamerkan t-shirtnya bertuliskan “Sorry, I’m different.” (entah apadia).

Gambar Via Yamin Ismail

Para porter menyorong kereta membawa barangan. Para peniaga berteriak jualan. Lembu dan kambing melenguh berkeliaran dalam bandar. Penumpang meloncat naik bas bukan melalui pintu, tetapi melalui tingkap. Agaknya inilah sambutan Selamat Datang ke India.

Begitulah “kejutan” yang ditawarkan India. Sama ada anda suka secara total atau benci secara total. Ada orang kata, setelah berjalan di India, kita akan jadi jenis manusia dengan dua kemungkinan – berjiwa sentimental dan trauma, atau kebal rasa dan mati perasaan.

Syor saya, jika anda berjiwa kembara, ingin keluar dari zon selesa, sukakan cabaran, ingin melihat kerencaman manusia, selepas covid ini datanglah ke India.

Sumber: Yamin Ismail

The post “Ini Belum Lagi…”, Lelaki Kongsi Pengalaman Dapat ‘Kejutan’ Tak Disangka-sangka Ketika Berkelana Ke India appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments