Wanita Tergamam, Wang Bernilai Lebih RM60 Ribu ‘Lesap’ Dipercayai Setelah Anak Beli ‘Cincin Kuasa’ Dalam ‘Video Game’

Seorang wanita di Connecticut, Amerika Syarikat tergamam apabila mendapati bahawa anaknya yang berusia 6 tahun menggunakan kad kreditnya untuk menghabiskan ‘sedikit wang’ pada game kegemaran di telefon pintarnya selama beberapa bulan, lapor Oddity Central.

Pada bulan Julai lalu, wanita yang merupakan seorang broker hartanah dari Wilton, Connecticut, Amerika Syarikat dikatakan mendapati bahawa sejumlah besar wang telah ditolak dari akaun Chase miliknya oleh Apple dan Paypal.

Beranggapan bahawa ianya adalah suatu kesilapan serta penipuan, wanita yang berusia 41 tahun itu terus menghubungi pihak bank dan mengemukakan tuntutan berkenaan penipuan pada bulan Julai.

Pada ketika itu, jumlah caj kad kreditnya yang mencurigakan itu telah mencapai sebanyak $ 16,293.10 (RM 66011.49) dan pada bulan Oktober pihak bank memberitahunya bahawa caj tersebut adalah sah dan dia perlu menghubungi pihak Apple untuk mendapatkan maklumat secara lebih terperinci.

Wanita tersebut mula menyedari bahawa wang itu telah dibelanjakan oleh anaknya yang berusia enam tahun selepas pihak Apple menyenaraikan senarai perbelanjaan daripada kad kreditnya.

Ketika dia melihat ikon Sonic the Hedgehog, dia tahu bahawa itu semua adalah kerja anaknya.

Malangnya, pada ketika itu, sudah terlambat untuknya melakukan apa-apa. Pihak Apple dilaporkan enggan mengembalikan wangnya kerana dia tidak menghubungi pihak mereka dalam tempoh 60 hari.

“Kata mereka, ‘Susah’. Mereka memberitahu saya bahawa, oleh kerana saya tidak menghubungi mereka dalam tempoh 60 hari sejak kad kreditnya itu digunakan, mereka tidak dapat berbuat apa-apa,” kata wanita tersebut kepada New York Post.

“Sebab mengapa saya tidak menghubungi dalam tempoh 60 hari adalah kerana Chase memberitahu kepada saya bahawa berkemungkinan pihak PayPal dan Apple.com yang mengambil duit saya.

Ternyata, gara-gara wanita tersebut dan suaminya tidak mengaktifkan tetapan keselamatan pada akaunnya, anaknya yang berusia 6 tahun itu telah menggunakan kad kreditnya yang dipautkan untuk membeli pek booster bernilai ribuan dolar pada game kegemarannya, Sonic Forces.

Anaknya itu bermula dengan membeli cincin merah bernilai $1,99 (RM8.06) dan dengan pantasnya menambah cincin emas hingga $99,99 (RM405.11), kerana semakin banyak dia beli semakin banyak karakter dan perincian boleh digunakannya dalam game tersebut.

“Sudah pasti, jika saya tahu berkenaan perkara itu, saya pasti tidak akan membiarkan anak saya yang berusia 6 tahun itu menghabiskan wang sebanyak hampir $ 20,000 (RM 81030.00) untuk cincin emas di alam maya.

Disebabkan oleh itu, wanita tersebut menyeru kepada ibu bapa agar memeriksa pengaturan keselamatan dan pembayaran mereka.

Sumber: Oddity Central

The post Wanita Tergamam, Wang Bernilai Lebih RM60 Ribu ‘Lesap’ Dipercayai Setelah Anak Beli ‘Cincin Kuasa’ Dalam ‘Video Game’ appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments