(Video) “Siang Bertukar Malam,” Orang Ramai Terpegun Tonton Gerhana Matahari Penuh Di Chile & Argentina

Fenomena semulajadi menakjubkan berjaya dilihat oleh ribuan penduduk di beberapa kawasan di Chile dan Argentina apabila gerhana matahari penuh berlaku di sebahagian besar kawasan di selatan Pasifik dan wilayah paling selatan di Amerika Selatan, pada Isnin.

Penduduk di beberapa bahagian di bawah laluan gerhana itu mengalami kegelapan penuh pada jam 1 petang di negara tersebut di mana siang bertukar kepada malam lebih dua minit.

Kejadian tersebut berlaku pada saat akhir setelah hujan lebat sebelum itu hampir membatalkan hasrat penonton untuk kembali menyaksikan peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di Chile tahun lalu.

Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang berlaku akibat wabak Covid-19, ianya tidak menghalang hampir 300,000 pelancong tiba di wilayah Araucania, sekitar 500 batu (800 km) selatan ibu kota Chile Santiago untuk menyaksikan gerhana penuh apabila bulan menghalang matahari sepenuhnya.

Gambar: Reuters via Daily Mail
Gambar: Gerhana matahari penuh di Piedra del Aquila, Neuquén province, Argentina – AFP via Daily Mail

“Ini sesuatu yang anda tidak hanya melihat dengan mata anda tetapi juga merasakan dengan hati anda,” kata Mr Tordecilla, yang melakukan perjalanan selama 10 jam bersama keluarganya untuk menyaksikan peristiwa tersebut.

Di Patagonia Argentina, beberapa penduduk tempatan dan pelawat asing telah mendirikan khemah di antara bandar-bandar Villa El Chocon dan Piedra del Aguila, dengan harapan dapat melihat gerhana penuh

“Peristiwa ini membuatkan saya meremang bulu roma,” kata penduduk Pucon, Cinthia Vega kepada media.

Manakala, puluhan ahli astronomi amatur dan profesional memasang teleskop di lereng-lereng di Villarrica yang merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di Chile demi melihat fenomena tersebut.

Gambar: AFP/Martin Bernetti via CNA

Difahamkan, gerhana itu akan terlihat di sepanjang kawasan selebar 90 kilometer, bergerak dari pantai Pasifik di Chile melintasi pegunungan Andes dan seterusnya ke Argentina.

Gerhana matahari adalah yang kedua kelihatan di Chile dalam 18 bulan terakhir. Pada bulan Julai 2019, sekitar 3oo,000 orang keluar ke gurun Atacama, sebuah wilayah di utara Chile untuk mendapatkan pemerhatian terbaik bagi melihat gerhana sebelumnya.

Namun begitu, gerhana penuh yang menarik perhimpunan ramai orang menjadi perhatian pihak berkuasa di Chile kerana terdapat lebih dari 570,000 kes Covid-19 termasuk hampir 16,000 kematian yang dicatatkan setakat ini.

Gambar: AFP via Daily Mail

Pengawasan ketat dilakukan untuk kawasan-kawasan di mana gerhana penuh akan terlihat, dengan pergerakan bebas dilarang pada hari sebelum dan sesudah acara.

Bilakah gerhana penuh akan muncul semula?

Menurut kajian, gerhana matahari berikutnya akan berlaku pada 8 April 2024, dari Texas ke Maine, dengan bandar Montreal di Kanada dapat melihat keseluruhannya.

Gerhana matahari seterusnya selepas itu akan berlangsung pada 12 Ogos 2026, dan akan dilihat dari Kutub Utara, Greenland, Iceland, Sepanyol dan Timur Laut Portugal.

Gambar: Daily Mail

Pada 2 September 2035, sebilangan besar orang di China, Jepun utara dan Korea akan menyaksikan gerhana matahari penuh.

Antara 2023 dan 2038, jumlah gerhana matahari terbanyak akan berlaku di Australia: Terdapat lima gerhana matahari yang dapat dilihat dari benua itu iaitu di antara 20 April 2023 dan 26 Disember 2038.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) “Siang Bertukar Malam,” Orang Ramai Terpegun Tonton Gerhana Matahari Penuh Di Chile & Argentina appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments