(Video) Rezeki Terpijak, Petani Dilapor Temui Berlian Bernilai Lebih RM320k Ketika Usahakan Tanahnya

Seorang petani di Bhopal, India mendapat ‘durian runtuh’ apabila dia dilaporkan menemui sebutir berlian di kawasan tanahnya.

Lakhan Yadav, 45, menjumpai berlian itu di dalam satu kawasan tanah yang disewanya pada bulan lepas.

Difahamkan pada awalnya, Yadav hanya menyangka objek yang ditemuinya itu hanyalah batu kerikil biasa.

Bagaimanapun, dia cuba membersihkannya untuk mengenal pasti lebih dalam dan apa yang mengejutkan, batu yang dianggap kerikil tersebut bersinar.

Teruja dengan penemuan ‘misteri’ tersebut, Yadav membawa batu itu ke pakar berlian untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya.

Pakar tersebut mengesahkan batu itu adalah sebutir berlian 14.98 karat dan nilai harganya mencapai kira-kira RM329,000.

Dia kemudiannya menjual semula berlian tersebut untuk mendapatkan wang yang banyak bagi mengubah nasib hidupnya.

“Ianya telah mengubah hidup saya.

“Saya tidak mencari sesuatu yang besar. Saya bukanlah seorang yang berpelajaran. Jadi dengan duit itulah saya jadikan kos perbelanjaan untuk pendidikan keempat-empat anak saya,” katanya kepada pemberita Times Of India pada ketika itu.

Yadav tinggal di kampung, mencari rezeki hanya dengan bercucuk tanam di sebidang tanah berkeluasan dua ekar dan ‘dibantu’ oleh dua ekor kerbau.

Akibat kemiskinan, mereka tidak pernah mempunyai kenderaan sendiri.

Namun hasil jualan berlian tersebut, kini Yadav mampu memiliki sebuah motosikal untuk kegunaan mereka sekeluarga.

 

 

Sumber: Times of India

The post (Video) Rezeki Terpijak, Petani Dilapor Temui Berlian Bernilai Lebih RM320k Ketika Usahakan Tanahnya appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments