(Video) Impian 12 Tahun Tertunai, Ibu Sampai Menangis Terharu Dapat Hadiah ‘Oyen’ Sempena Hari Jadi

Ketika sambutan hari lahir, biasanya seseorang itu akan diberi pelbagai hadiah berbentuk kek, barangan rumah, barang kemas, aksesori dan sebagainya.

Tapi percaya atau tidak, kini kucing pun boleh jadi hadiah hari jadi, sudah tentu ia dianggap hadiah yang paling bernilai bagi pencinta kucing.

Baru-baru ini tular di media sosial sekumpulan adik-beradik menyambut ulang tahun ibu mereka di rumah. Namun menariknya, hadiah yang diberikan bukan Tupperware, bukan gelang pulut dakap, tapi Oyen – si kucing.

Video pemberian Oyen sebagai hadiah buat ibu ini dirakam warganet, Fatihah Ghafar. Rupa-rupanya ada kisah di sebalik kenapa Oyen dijadikan hadiah. Jom tonton video ini dan baca penerangan Fatihah selanjutnya.

Macam mana boleh terfikir nak bagi hadiah Oyen?

Tertarik dengan hadiah tersebut, Siakap Keli berpeluang menemuramah Fatihah tentang apa sebenarnya yang berlaku ini.

Jelas Fatihah, segalanya bermula ibu mereka ‘berkenan’ untuk mendapatkan seekor kucing sebagai hadiah hari lahir seperti yang dinyatakan dalam group WhatsApp keluarga.

“Mula-mula kami adik-beradik dah buat group WhatsApp sebab nak bincang hadiah ibu. Abang cadangkan untuk bawa ibu dan ayah naik ATMOSPHERE360 tu, di situ kan boleh makan malam sekali.

“Sekali ibu hantar WhatsApp dia cakap nak kucing macam dalam gambar yang dia tunjuk, tapi nak warna oren,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.

Paparan perbualan di group WhatsApp | Gambar: Fatihah

Jelas Fatihah, ibu memberitahu ‘hajatnya’ dalam group WhatsApp seperti di atas ini pada Khamis 3 Dis baru-baru ini.

Sehubungan itu, bertindak atas ‘maklumat’, adik-beradik Fatihah pantas merangka satu perancangan untuk buat satu kejutan kepada ibu mereka.

Maka mereka pun berpakat berbincang dalam group WhatsApp sesama adik-beradik pula.

Paparan perbualan di group WhatsApp | Gambar: Fatihah

Difahamkan, mereka harus bekerja keras mendapatkan kucing berwarna oren memandangkan waktu semakin singkat. Mereka perlu mendapatkannya segera kerana majlis itu berlangsung hanya beberapa jam sahaja lagi.

“Jadi adik-beradik semua ada tugas untuk cari kucing oren dalam masa yang singkat. Pencarian kucing kami tak sampai 24 jam pun. Itu tak kira lagi yang penjual kata dah ‘sold out’ la, penjual tak jadi jual kucing la.

“Lepas itu pukul 8 pagi Jumaat keesokannya (kelmarin) ada penjual nak jual dan masih ‘available’. Jadi terus bayar deposit dan sekitar pukul 1 orang tu sampai dari Melaka untuk hantar kucing,” katanya lagi.

Ditakdirkan sudah tercatat rezeki buat mereka, akhirnya ada juga penjual dari Melaka. Jauh juga si Oyen merantau sampai ke Seremban.

Terpaksa sorok-sorok dalam bilik

Setibanya Oyen di rumah, langkah pertama yang perlu dibuat adalah memastikan ‘kehadiran’ Oyen tidak disedari ibu mereka.

“Ibu dalam bilik masa itu, saya pun ambil kucing itu di luar rumah dan simpan dia dalam bilik abang saya. Saya bagi makan, mandikan dia (Oyen) semua.

“Lepas itu saya paksa semua adik-beradik untuk balik rumah malam itu juga untuk ‘celebrate’. Dan Alhamdulillah semua adik-beradik ada untuk menyambut majlis hari jadi ibu ini pada hari Jumaat tersebut,” tambahnya.

Bagaimanapun jelas Fatihah, tarikh sebenar ulang tahun hari lahir ibunya adalah pada 6 Dis hari ini. Namun mereka memilih untuk menyambutnya awal dua hari (Jumaat 4 Dis) kerana ibu ayah mereka ingin ber’staycation’ di hotel pada Sabtu hingga Isnin esok.

“Mereka nak ‘celebrate’ berdua..” selorohnya.

12 tahun menanti

Jika merujuk pada video ini, jelas terpampang rasa terharu dan sebak di wajah si ibu. Seakan-akan hadiah Oyen itu merupakan hadiah paling berharga dalam hidupnya.

Namun setelah diselidiki, rupa-rupanya sudah lama ibunya terlalu menginginkan kucing berwarna oren.

“Ibu memang nak kucing oren sejak kami kecil lagi. Memang dia minat kucing (jenis) Oyen. Kucing kami sebelum ini (ialah) kucing orang bagi dan semuanya berwarna hitam putih. Jadi kami baru nak ‘pecahkan’ tradisi; beli kucing sendiri.

“Itu yang dalam video ibu tanya, ‘Mana dapat ni?’ Sebab kami tak pernah beli..selalu dapat,” jelasnya.

Sebelum ini, abang dan kakak iparnya baru sahaja ambil kucing untuk dibela, namun akibat terlalu ‘mengidamkan’ kucing berwarna oren, ibunya sampai bertanya “Korang taknak bela kucing oren ke?” kata Fatihah.

Reaksi ibu yang terlalu suka dengan Oyen milik kawannya | Gambar: Fatihah

Gambar di atas ini adalah waktu ketika ibunya berpeluang menyentuh Oyen milik kawan kakakknya. Melalui riak senyumannya, jelaslah tersimpan 1001 rasa begitu teringinkan si Oyen dalam hatinya.

Difahamkan, ibunya mahu membela kucing berwarna oren sejak umurnya 10 tahun lagi. Sehinggalah kini usianya sudah 22 tahun, barulah ibunya berpeluang ‘memiliki’ Oyen dalam dakapannya sendiri.

Pendek kata, penantian ‘perit’ seakan ‘sakit dalam rindu’ sejak 12 tahun lalu, kini sudah pun berakhir. Bagi ibunya, Oyenlah satu-satunya hadiah hari lahir paling berharga pernah diterimanya.

Mungkin disebabkan warnanya yang oren kekuningan seperti watak anak singa dalam filem Lion King, iaitu Simba, maka Oyen ini diberikan nama baharu iaitu Simba.

Tahniah diucapkan buat Fatihah dan adik-beradik atas usaha keras mereka memenuhi ‘hajat’ ibu yang terbungkam sekian lama. Semoga murah rezeki anda semua.

Oh ya, selamat hari jadi diucapkan buat ibu Fatihah, Puan Hartini Hussin yang ke-57 tahun hari ini ya. Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki serta dirahmati Allah SWT selalu.

Kepada Simba, jangan nakal-nakal ya.

Puan Hartini berbahagia bersama Simbanya | Gambar: Fatihah
Oyen yang bernama Simba | Gambar: Fatihah

Sumber: Fatihah Ghafar

The post (Video) Impian 12 Tahun Tertunai, Ibu Sampai Menangis Terharu Dapat Hadiah ‘Oyen’ Sempena Hari Jadi appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments