(Video) Dron Boleh Tembak Api, Digunakan Untuk Musnahkan Sarang Tebuan

Sekumpulan sukarelawan dan organisasi kemanusiaan terbesar di China, Blue Sky Rescue dilaporkan menggunakan dron khas untuk membasmi sarang tebuan di daerah Zhong, berhampiran bandar Chongqing.

Menurut Daily Mail, kumpulan itu membelanjakan 80,000 yuan (kira-kira RM49,569) untuk membeli dan melengkapkan dron tersebut dengan tangki gasolin.

Peralatan itu digunakan untuk menembak api bagi membakar sarang tebuan di atas pokok yang berada di kejiranan tersebut.

Lapor portal itu, memetik China Daily, seramai 19 individu maut akibat disengat tebuan di Ankang, wilayah Shaanxi pada tahun 2013.

Seorang doktor daripada Jabatan Nefrologi Hospital Umum Tentera Chengdu, Guo Dongyang berkata, kadar kematian akibat sengatan tebuan adalah agak tinggi berikutan individu di kawasan terpencil tidak mampu mendapatkan rawatan.

Jelasnya, mangsa akan mengalami kegagalan buah pinggang, kegagalan hati dan kecederaan jantung serta boleh meninggal dunia dalam tempoh satu hingga dua jam jika tidak mendapatkan rawatan sepatutnya dalam kadar segera.

Setakat ini, Blue Sky Rescue telah menghapuskan 11 sarang dan lebih 100 sarang akan dimusnahkan dalam pelan tersebut.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Dron Boleh Tembak Api, Digunakan Untuk Musnahkan Sarang Tebuan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments