(Video) 14 Ekor Koala Yang Cedera Akibat Kebakaran Besar Di Australia Kini Dihantar Pulang Ke Habitat Asal

Beruang Koala yang diselamatkan semasa kebakaran hutan Victoria pada musim panas yang lalu telah dilepaskan kembali ke habitat asalnya selepas pulih daripada kecederaan.

14 ekor koala yang tercedera akibat melecur dalam kebakaran hutan di East Gippsland pada bulan Januari lalu telah dirawat di Healesville Sanctuary dan zoo Melbourne.

Mereka menghabiskan bulan-bulan terakhir pemulihan mereka dengan “membina semula” kekuatan, kecergasan dan kemahiran untuk memanjat di pusat perlindungan di Healesville Sanctuary dan Phillip Island Nature Parks.

Selama sebulan yang lalu, koala itu telah dilepaskan ke kawasan hutan di East Gippsland, berdekatan dengan tempat asal ianya ditemukan.

Kumpulan terakhir daripada koala tersebut dibebaskan pada hujung minggu di kawasan hutan sekitar Mallacoota.

Pegawai veterinar Zoo Victoria, Leanne Wicker menyatakan bahawa adalah sangat istimewa untuk melihat koala ini akhirnya kembali ke habitat asalnya.

“Saya tidak akan melupakan kecederaan dan trauma yang pertama kali kami kendalikan di unit-unit triaj hidupan liar pada bulan Januari,” kata Dr Wicker dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Sayangnya, ada banyak haiwan yang tidak dapat kami selamatkan, tetapi kami telah memberikan yang terbaik untuk merawat cakar, hidung dan telinga yang teruk terbakar sambil memantau kecederaan dalaman.”

Dr Wicker menyatakan setiap koala telah dilengkapi dengan alat pengesan bagi membolehkan pasukan kesihatan dan pasukan sains memantau keadaan mereka selama beberapa bulan yang akan datang.

“Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk perlahan-lahan memulihkan kesihatan koala ini, dan yang paling istimewanya sekarang adalah kami dapat melepaskan mereka kembali kepada habitat asal mereka sambil dipantau oleh pasukan kami,” katanya.

Dianggarkan lebih daripada tiga bilion haiwan telah tercedera atau terbunuh dalam kebakaran hutan Australia pada musim panas yang lalu.

Sumber: Australian Geographic

The post (Video) 14 Ekor Koala Yang Cedera Akibat Kebakaran Besar Di Australia Kini Dihantar Pulang Ke Habitat Asal appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments