Tular Gambar Ribuan Kerang Terdampar Di Pantai, Rupa-rupanya Berlaku Di Mesir

Baru-baru ini tular di media sosial beberapa gambar yang memaparkan situasi longgokan ribuan kerang yang terdampar di tepi pantai.

Gambar tersebut menjadi perhatian warganet berikutan ramai daripada mereka amat menggemari menu masakan berasaskan hidupan laut itu seperti kerang bakar cicah air asam, sambal kerang, kerang rebus dan sebagainya.

Namun rupa-rupanya gambar yang tular tersebut bukan berlaku di Malaysia, tetapi jauh di luar negara.

Seorang warganet yang menggunakan nama Mummy Elle berkongsi satu ciapan di Twitter tentang isu kerang terdampar tersebut pada semalam.

Menurut Mummy Elle, gambar longgokan kerang yang terdampar di pantai itu adalah kiriman daripada salah seorang pengikutnya (follower) yang menetap di Mesir.

Kredit gambar: Lisanul Hakim & Luthfi Hussain/Twitter

Jelas pengirim itu yang juga merupakan penuntut jurusan perubatan di Iskandariah, gambar tersebut yang tular sebelum ini dipercayai berlokasi di Pantai Dumyat, Mesir.

Difahamkan, fenomena tersebut adalah disebabkan ketibaan musim sejuk yang bakal melanda Bumi Anbiya’ itu dan ianya sebenarnya merupakan perkara biasa setiap tahun.

“Setiap kali musim sejuk, lautan kerang akan naik ke persisiran pantai sejauh mata memandang.

“Waktu inilah masa yang terbaik untuk mengutip kerang yang besar dan segar. Syurga buat peminat kerang!” kata pengirim tersebut melalui kenyataan dalam aplikasi WhatsApp.

Ekoran ‘rezeki’ sudah terhampar di depan mata, ramai orang awam di sana mengambil peluang tersebut untuk mengutipnya sebanyak mungkin dan membawanya balik ke rumah masing-masing.

Mungkin semuanya ada ‘resepi’ tersendiri, maka proses pengutipan dan pembersihan kerang-kerangan tersebut juga agak berbeza.

Kredit gambar: Lisanul Hakim & Luthfi Hussain/Twitter

“Ada segelintir pengunjung terus perisi isi kerang, proses buang pasir dengan merebus kali pertama di pantai itu juga sebelum dibawa pulang. Kena bawa tong gas dan periuk la ke pantai.

“Ada juga yang usung bawa balik terus ke rumah berguni-guni dengan menaiki van.

“Tidak kurang juga ada yang menjual isi kerang kepada pelajar lain, dibuat pelbagai menu kerang yang susah dapat di Mesir, disebabkan orang Arab jarang jual di pasar kerana mereka tidak makan kerang,” katanya lagi.

Namun di sebalik ‘kegembiraan’ mereka menatap pemandangan ‘indah’ lautan kerang yang terdampar itu, ada juga kisah sedih yang turut dialami sebahagian mereka yang kurang bernasib baik.

Kata individu tersebut, ada juga kawasan yang tiada ‘gerombolan’ kerang, malah ada juga kawasan yang sudah ‘bersih’ kerana kerang tersebut telah dimakan oleh burung-burung di situ terlebih dahulu.

Bagaimanapun jelasnya, saiz kerang yang besar tidak semestinya menjamin rasa yang enak di lidah.

“Tapi ada satu benda yang anda kena tahu tentang kerang besar ini. Kerang ni sangatlah liat dan penuh berpasir. Jenuh kunyah dan telan pasir haha,” selorohnya.

Kredit gambar: Lisanul Hakim & Luthfi Hussain/Twitter
Perbualan di aplikasi WhatsApp oleh pengirim tersebut | Gambar: Twitter

Selain itu, Mummy Elle dalam satu bebenang ciapan yang sama turut berkongsi satu video berkenaan sebuah kuil agung di Abu Simbel, Mesir yang telah dipindahkan.

Menurutnya, pemindahan yang diusahakan oleh Pertubuhan Kebudayaan, Ilmiah dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) harus diberi pujian.

Hal ini difahamkan kerana lokasi asal kuil agung tersebut sebelum ini terletak di kawasan rendah yang berisiko menyebabkannya tenggelam ekoran pembinaan empangan Aswan.

Mari tonton video ini.

 

Sumber: Twitter Mummy Elle

The post Tular Gambar Ribuan Kerang Terdampar Di Pantai, Rupa-rupanya Berlaku Di Mesir appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments