Moderna Setuju Bekal 20 Juta Vaksin Untuk Korea Selatan Pada Suku Kedua 2021

SEOUL, 29 Dis (Bernama) — Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Moderna bersetuju membekalkan dos vaksin COVID-19 untuk 20 juta rakyat Korea Selatan bermula suku kedua tahun depan, umum Pejabat Presiden, Cheong Wa Dae pada Selasa.

Persetujuan itu dicapai dalam sidang video antara Presiden Moon Jae-in dan Ketua Pegawai Eksekutif Moderna Stephane Bancel pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap menurut Pejabat Presiden Korea Selatan.

Jumlahnya adalah dua kali ganda berbanding jumlah jaminan awal menerusi rundingan kerajaan dengan firma bioteknologi AS itu. Jangka waktu penerimaan vaksin juga telah dipercepatkan ke suku kedua daripada suku ketiga.

Secara keseluruhan, Korea Selatan akan memperoleh dos vaksin untuk 56 juta orang sekiranya perjanjian Moderna dimeterai, menurut jurucakap Cheong Wa Dae, Kang Min-seok.

Moon dan Bancel juga sepakat untuk menjalinkan kerjasama membabitkan Moderna dan Institut Negara Korea Selatan mengenai kajian dan pengembangan penyakit berjangkit.

Kedua-dua pihak juga sepakat bekerjasama dalam bidang pengeluaran vaksin Moderna oleh syarikat Korea Selatan.

— BERNAMA

The post Moderna Setuju Bekal 20 Juta Vaksin Untuk Korea Selatan Pada Suku Kedua 2021 appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments