Dedikasi Kisah Hidup Dalam Lagu, Menantu Tiri ‘Tokti’, Tya Arifin Lancar Single Pertama ‘Bagaikan Mutiara’

Memuatkan kisah perjalanan hidup yang banyak episod jatuh bangunnya ke dalam sebuah lagu adalah impian kebanyakan pencinta dunia seni.

Begitulah yang dibuktikan oleh pengasas syarikat jus kesihatan Mutyara, Tya Arifin, 26, apabila beliau secara rasminya melancarkan single pertamanya, Bagaikan Mutiara pada 4 Dis baru-baru ini.

Jelas wanita kelahiran Palembang, Indonesia ini, Bagaikan Mutiara adalah rangkuman penceritaan kenangan indah bersama suami tercinta, Asyraf Khalid sepanjang lima tahun perkahwinan mereka.

Bermula detik pertemuan pertama, dituruti saat manis bergelar suami isteri sehinggalah berhijrah ke Malaysia dan membangunkan perniagaan dengan penuh suka-duka, segalanya diceritakan dalam lagu yang berdurasi selama tiga minit 25 saat ini.

Tya semasa pelancaran Bagaikan Mutiara | Gambar: Mutyara

“Tya ialah seseorang yang suka menggarap momen dan memori-memori indah. Dan selama lima tahun perjalanan Tya sejak berkahwin, banyak kisah menarik dan cabaran tentang hidup Tya dari Palembang, Sumatera sampai ke Malaysia.

“Dan setelah itu Tya merangkumkannya dalam sebuah lagu. Jadi inilah masanya yang Tya pilih untuk kongsi kepada peminat di luar sana dengan sebuah lagu berjudul Bagaikan Mutiara,” katanya selepas melancarkan single tersebut di Hitman Group, Shah Alam baru-baru ini.

Selain itu, Bagaikan Mutyara juga diibaratkan sebagai sebuah bingkisan bermakna yang menghimpunkan pahit manis hidupnya.

“Ia seperti sebuah kembara seorang wanita yang mencari hala tuju dalam hidupnya, ia termasuk mencari jati diri. Dalam perjalanan itu, dipertemukan dengan cinta hati (suami).

“Simbolik perkataan ‘mutiara’ itu sendiri yang sentiasa bersinar di lautan. Ia tetap berharga nilainya sekaligus mencerminkan segala yang positif seperti kebijaksanaan, keteguhan hati, kemurnian, kekebalan dan kesetiaan,” katanya.

Dalam masa sama, lirik lagu bergenre pop yang disulami konsep irama Latin ciptaan Ahmad Jeffny dan Yuka Kharisma ini turut mendapat sentuhan nukilan suaminya sendiri.

Lagu yang menginspirasi wanita

Tidak hanya mengekspresikan kisah peribadi, Bagaikan Mutiara juga dicipta bagi menginspirasikan kaum wanita sepertinya, lebih-lebih lagi yang sudah berumah tangga.

Kata Tya atau nama sebenarnya Nutria Wulandari Arifin, cabaran hidup akan terasa ‘indah’ apabila ia diharungi dengan semangat yang kuat serta saling berpautan bersama pasangan atas dasar cinta.

“Sebenarnya Tya nak menyuntik inspirasi kepada wanita di luar sana, walaupun terdapat banyak cabaran dan rintangan, tetapi ia bukanlah selama-lamanya.

“Kalau kita boleh hadapi cabaran itu dengan keinginan yang kuat, kita ada impian, dan ia boleh dilalui dengan pasangan yang sangat menyokong, kita boleh jadikan impian itu menjadi kenyataan,” katanya.

Bagi Tya, seseorang wanita itu harus kuat mendepani rintangan kehidupan. Ia memerlukan satu semangat yang tidak memandang pada status seseorang itu.

“Saya sendiri berubah status daripada gadis bertukar sebagai isteri dan ibu. Menjadi ibu kepada dua cahaya mata tidak pernah membataskan saya untuk mencari titik kesempurnaan dalam hidup.

“Saya jadi lebih optimis dan bersemangat apabila perniagaan yang diusahakan dapat membantu mengubah nasib orang lain,” jelasnya yang juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata, iaitu Arif Jiwa, tiga tahun dan Azzahra Jiwa, dua tahun.

Cabaran kembali menyanyi

Single Bagaikan Mutiara ini bukanlah lagu pertama yang Tya nyanyikan. Mungkin ada yang belum tahu, Tya sebenarnya pernah bergelar anak seni di Indonesia pada satu ketika dahulu sebelum berhijrah ke Malaysia.

Mengimbas kembali, Tya pernah beraksi dalam filem Gending Sriwijaya (2012), selain turut pernah bergelar penyanyi yang menjayakan lagu Bawalah Aku (2013).

Bagaimanapun jelasnya, persediaan dan latihan suara perlu dijalaninya semula memandangkan kali terakhir dirinya beraksi di pentas seni adalah pada tujuh tahun lalu.

Tya semasa pelancaran Bagaikan Mutiara | Gambar: Mutyara

“(Sebelum ini) Tya hanya menyanyi secara suka-suka dengan keluarga. Tapi bagi menjayakan usaha menyanyi kembali, memang Tya ada ikut kelas latihan vokal untuk mengasah balik bakat nyanyian.

“Dengan lagu Bagaikan Mutiara, ia sesuai dengan range vokal Tya,” jelasnya.

Tambahnya, salah satu sebab yang membuatkannya kembali menyanyi adalah untuk melepaskan rindu terhadap karier lamanya sebagai penyanyi di Indonesia.

Walaupun rakaman Bagaikan Mutiara memerlukannya untuk menari dengan pelbagai gaya, namun ia bukanlah sesuatu yang sukar bagi Tya. Malah Tya berjaya melakukannya dengan cemerlang dalam masa dua hari sahaja.

Terinspirasi dengan mak mertua

Mungkin satu keputusan yang agak ‘berani’ apabila Tya tekad untuk melangkah satu tapak lagi dalam kariernya, daripada bidang perniagaan ke pentas seni.

Sebagai menantu tiri kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Tokti, Tya mengakui bahawa dirinya masih perlu banyak belajar daripada insan hebat tersebut.

“Mak Iti (panggilan kepada Datuk Siti) adalah sosok yang dikenali dan dihormati di Malaysia. Jadi Tya pasti akan mengidolakan Mak Iti sebagai inspirasi kepada Tya untuk menjadi wanita hebat macam dia,” jelasnya.

Menariknya, keputusan Tya untuk kembali menyanyi ini mendapat sokongan penuh daripada keluarganya, lebih-lebih lagi ibu mertua tirinya itu.

“Mak Iti banyak doakan yang terbaik untuk Tya dan beri sokongan. Itu pun sudah cukup untuk Tya,” katanya lagi.

Tya semasa pelancaran Bagaikan Mutiara | Gambar: Mutyara

Dalam pada itu, walaupun Tya dan keluarga sudah lama membina kehidupan di Malaysia, namun tidak dapat dinafikan bahawa dirinya terlalu merindui keluarga di tanah asalnya di Palembang sana.

Difahamkan, kali terakhir Tya bersama keluarganya adalah pada Oktober tahun lepas. Kira-kira sudah lebih setahun mereka tidak bertemu, apatah lagi disebabkan kekangan situasi semasa berikutan pandemik COVID-19 yang belum reda.

“Tapi benda ni sudah terjadi, bukan kehendak kita. Sudah memang ketentuan Ilahi, jadi kita sebagai hamba-Nya hanya boleh menerimanya dengan sabar,” katanya yang turut bersyukur semua ahli keluarganya terselamat daripada jangkitan COVID-19.

Tips bahagia

Dalam wawancara bersama Tya seusai pelancaran tersebut, Tya sempat berkongsi beberapa tips kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga yang diamalkan sejak awal perkahwinan.

Kata Tya, antara perkara penting yang perlu diamalkan adalah saling komunikasi dan kerap bermaafan.

“Kita sebenarnya kena saling berkomunikasi, itu sebenarnya sangat penting kerana kita tidak boleh jangka lelaki itu tahu semua perkara tentang perempuan.

“(Dalam masa sama) kena mudah bercakap maaf. Itulah perkara yang Tya buat sejak awal perkahwinan sampai ke hari ini,” katanya.

Bagi Tya, sebarang perbezaan pendapat antara pasangan yang memungkinkan berlakunya perbalahan akan dapat diminimumkan sekiranya kedua-dua kaedah ini diamalkan dengan baik.

Mengulas lanjut, Bagaikan Mutiara ini mengambil masa kira-kira enam bulan bermula daripada peringkat persediaan, latihan vokal sehinggalah ke peringkat rakaman.

Tidak hanya sebagai ‘penyokong’ utama, suaminya juga bertanggungjawab sebagai penerbit eksekutif bagi rakaman muzik video Bagaikan Mutiara yang dijalankan pada 17 Nov lalu, di bawah arahan El Helmi Khir.

Lagu dan video muzik Bagaikan Mutiara secara rasminya dilancarkan secara livestreaming di bawah edaran Universal Muzik Video pada 4 Dis baru-baru ini.

Kini Bagaikan Mutiara boleh didengari menerusi laman Youtube melalui pautan INI.

The post Dedikasi Kisah Hidup Dalam Lagu, Menantu Tiri ‘Tokti’, Tya Arifin Lancar Single Pertama ‘Bagaikan Mutiara’ appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments