Cabaran Hapuskan COVID-19 Tidak Halang Usaha Pemerkasaan Sektor Awam – PM Muhyiddin

MELAKA, 28 Dis — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cabaran menghapuskan wabak COVID-19, tidak menghalang usaha memperkasa sektor awam yang merupakan salah satu daripada agenda utama kerajaan, untuk memastikan sistem perkhidmatan yang cekap, telus dan mesra rakyat.

Perdana Menteri berkata tanggungjawab penjawat awam kini adalah untuk membudayakan norma baharu dalam cara kerja, supaya perkhidmatan tersebut tetap dapat disampaikan secara efektif kepada golongan sasar, di samping meningkatkan produktiviti kerja.

Beliau berkata di peringkat kerajaan pula, adalah penting inisiatif untuk menambah baik aspek integriti dan tadbir urus kerajaan dilaksanakan, misalnya dilakukan melalui usaha membanteras amalan rasuah bagi memastikan kecekapan dan ketelusan pengurusan pentadbiran.

“Oleh kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan antara warga kerja barisan hadapan yang sering terdedah dengan tarikan rasuah, maka usaha membanteras jenayah ini perlu kekal sebagai agenda penting yang perlu dilaksanakan meluas dalam kalangan penjawat PBT.

“Ini agar kita dapat mewujudkan sebuah budaya kerja yang berintegriti tanpa berkompromi dengan mana-mana nilai dan etika,” katanya ketika berucap merasmikan secara maya Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) kali ke-27 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden ANULAE Semenanjung Malaysia Datuk Azih Muda dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat.

Muhyiddin, dalam video 10 minit itu juga turut menyeru agar PBT dan agensi berkaitan dapat turun padang dengan lebih kerap untuk meninjau dan memahami keadaan semasa, selain meneliti isu-isu berhubung kakitangan mereka yang saban masa bertemu dengan orang ramai, bagi menyelesaikan urusan seharian.

Beliau turut menyambut baik usaha ANULAE yang bergabung dengan CUEPACS untuk bersama-sama menangani masalah dalam kalangan ahli kesatuan, khususnya para penjawat awam demi menjaga kebajikan mereka.

“Persidangan perwakilan ini merupakan peluang buat semua warga ANULAE, untuk berbincang dan menyuarakan pandangan tentang isu-isu berkaitan kebajikan ahli. Saya berharap agar kita semua dapat bersama-sama berganding bahu untuk memastikan hak dan kebajikan setiap kakitangan awam dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya.

“Saya juga berharap agar kesatuan ini akan terus memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ dalam komuniti setempat, dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri termasuk PBT,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Cabaran Hapuskan COVID-19 Tidak Halang Usaha Pemerkasaan Sektor Awam – PM Muhyiddin appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments