Anggota Polis Trafik Ditahan, Tular Memandu Lawan Arus & Disyaki Mabuk

JOHOR BAHRU, 23 Dis – Seorang anggota polis trafik berusia 25 tahun ditahan tengah malam tadi kerana memandu secara melawan arus serta disyaki di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada awalnya pihaknya menerima satu rakaman video yang memaparkan sebuah kereta dipandu secara berbahaya dan menyongsang arus di Jalan Lingkaran Dalam di sini.

“Hasil siasatan mendapati anggota polis ini tidak bertugas pada masa kejadian dan menggunakan kenderaan persendirian.

“Polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambik tindakan paling tegas kepada mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang melanggar undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, boleh dipenjara tidak lebih lima tahun, didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih lima tahun jika disabit kesalahan.

Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 45A di bawah akta yang sama, boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000, boleh dipenjara selama dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang dua tahun jika disabit kesalahan.

“Polis Johor juga akan memastikan bahawa siasatan akan dijalankan dengan telus dan suspek akan dituduh di mahkamah,” tambahnya.

 

KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS JOHOR

Posted by Polis Johor on Tuesday, December 22, 2020

Sumber: Polis Johor

The post Anggota Polis Trafik Ditahan, Tular Memandu Lawan Arus & Disyaki Mabuk appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments