Warga Bangladesh Cederakan Lelaki Guna Besi Diburu

JOHOR BAHRU, 28 Nov- Polis sedang mengesan seorang suspek yang memukul seorang lelaki dipercayai menggunakan sebatang besi di Jalan Tebrau di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek merupakan lelaki warga Bangladesh berumur dalam lingkungan 30-an manakala mangsa ialah warga tempatan berusia 39 tahun.

Katanya, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira 11.30 malam.

“Menurut maklumat daripada saksi, suspek bertindak memukul mangsa dengan menggunakan objek senjata dipercayai sebatang besi hingga mengakibatkan mangsa cedera pada bahagian kepala, kaki dan badan.

“Punca kejadian masih disiasat dan tindakan mengesan suspek juga sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Padzli berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk menerima rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, beberapa klip video yang menunjukkan suspek sedang memukul mangsa dan pihak polis berada di lokasi kejadian, tular dalam laman sosial Facebook.

Sehubungan itu, polis memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes agar menghubungi talian hotline IPD JBS di 07-2182323.

Sumber- BERNAMA

The post Warga Bangladesh Cederakan Lelaki Guna Besi Diburu appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments