(Video) “Tangannya Tergapai-gapai”, Kisah ‘Pilot’ Nyaris Maut Setelah ‘Disedut’ Keluar Ketika Penerbangan Pada 1990

Luar biasa. Seorang juruterbang mungkin tidak dapat melupakan detik nyawanya hampir berakhir dalam keadaan mengerikan apabila ‘disedut’ keluar ketika penerbangan.

Menurut News.com.au, peristiwa melibatkan juruterbang British Airways itu berlaku sekitar 1990 ketika mereka dalam perjalanan daripada Birmingham, UK ke Malaga, Sepanyol.

Tambah portal berkenaa, baru 27 minit penerbangan 5390 itu berlepas dan melintasi Oxfordshire, dua daripada enam tingkap kokpit pesawat itu dilaporkan telah pecah, dipercayai akibat masalah teknikal.

Susulan itu, Kapten Tim Lancaster telah ‘disedut’ keluar melalui tingkap pada ketinggian kira-kira 23,000 kaki (7,000 meter).

Bagaimanapun, seorang pramugara, Nigel Ogden sempat bertindak pantas dan menangkap kaki juruterbang itu.

“Saya pusing dan lihat cermin hadapan telah hilang dan Tim, juruterbang disedut keluar. Dia ‘terlepas’ daripada tali pinggang dan saya hanya boleh melihat kakinya,” kata Ogden kepada media.

Gambar ilustrasi semula.

“Matanya terbuka luas”

“Saya masih memegang Tim, tapi tangan saya semakin lemah, kemudiannya dia nyaris terlepas,” ujar Odgen.

“Saya sangka akan kehilangannya, tapi badannya (terlekap) pada tingkap dalam bentuk U.

“Mukanya menghentam tingkap dengan darah keluar melalui hidung dan tepi kepala, tangannya tergapai-gapai.

“Apa lebih menakutkan, matanya terbuka luas. Saya tidak akan lupakan pemandangan itu sepanjang hidup,” kata Odgen.

Dalam kekalutan itu, pembantu juruterbang, Alistair Atchinson telah mengambil alih tugas mengemudi pesawat berkenaan dan menghantar isyarat kecemasan kepada menara kawalan.

Kejadian itu menyebabkan bahu Odgen terkehel, membuatkan tugasnya memaut kaki Tim terpaksa diserahkan kepada dua lagi kru penerbangan yang lain.

Sangka Tim telah mati

Pada awalnya, mereka menyangka Tim telahpun terkorban melihat kepada kesan frostbite akibat angin yang sejuk dan kuat. Mereka dikatakan telah mempertimbangkan sama ada ingin melepaskan jasadnya namun memutuskan untuk tidak berbuat demikian bagi mengelakkan jasad juruterbang itu ‘terpelanting’ masuk ke bahagian kipas enjin kiri pesawat yang boleh menyebabkan kegagalan enjin.

Sementara itu, isyarat kecemasan yang dihantar pesawat berkenaan telah diterima menara kawalan terdekat. Mereka kemudiannya diberi isyarat untuk mendarat di Lapangan Terbang Southampton. Setibanya di sana, anggota kecemasan mendapati Tim masih hidup namun mengalami beberapa kecederaan.

Juruterbang itu mengalami frostbite, lebam teruk, patah lengan kanan, ibu jari kiri dan pergelangan tangan kanan. Kesemua 87 penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat.

Hasil siasatan mendapati 84 daripada 90 bolt yang digunakan untuk melekatkan cermin pesawat adalah daripada jenis yang salah serta lebih pendek daripada sepatutnya. Bolt itu dikatakan tidak mampu menahan perbezaan tekanan udara di dalam kabin dan luar pesawat ketika penerbangan, menyebabkan cermin tercabut.

Tim Lancaster telah menamatkan perkhidmatan pada 2008 manakala pembantunya, HSN bersara pada 2015 ketika usianya 65 tahun.

Ikuti temubual bersama Nigel Odgen dalam video di bawah.

Sumber: News.com.au

The post (Video) “Tangannya Tergapai-gapai”, Kisah ‘Pilot’ Nyaris Maut Setelah ‘Disedut’ Keluar Ketika Penerbangan Pada 1990 appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments