(Video) Suspek Dipercayai Cuba Samun Dan Tumbuk Warga Emas OKU Ditangkap Polis

Suspek kes tumbuk dan cubaan samun seorang warga emas kurang upaya (OKU) pada Sabtu lalu di Lebuh Cina, Georgetown, berjaya diberkas polis kurang daripada satu jam selepas kejadian.

Memetik laporan Sinar Harian, mangsa berusia 66 tahun dan berkerusi roda sedang berbual dengan rakannya di tepi jalan kira-kira jam 9.30 pagi sebelum dihampiri seorang lelaki.

Menerusi video rakaman litar tertutup (CCTV) yang tersebar di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan warganet, suspek cuba merentap beg silang yang dipakai oleh mangsa tetapi tidak berjaya.

Rakaman berdurasi 40 saat itu juga menunjukkan mangsa ditolak dan ditumbuk berkali-kali di bahagian muka tanpa belas ihsan sebelum suspek melarikan diri ke arah motosikal yang dipandu oleh rakannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong seperti memetik Sinar berkata, akibat kejadian tersebut mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka.

“Mangsa seorang gelandangan yang patah kaki kiri akibat kemalangan sebelum ini cedera ringan di bahagian muka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut beliau, polis yang menerima laporan, menggerakkan operasi memburu suspek dan suspek berjaya diberkas kurang daripada satu jam, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Tambah beliau, polis turut merampas motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut selain semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah.

“Semakan mendapati lelaki berusia 32 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk lima kes dadah.

“Hasil saringan urin suspek didapati negatif dadah. Suspek bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang kerana menghidap penyakit tibi serta pendarahan dalam perut,” katanya memetik Sinar.

Beliau berkata, polis masih mengesan seorang lagi suspek terlibat dalam kejadian itu yang masih bebas.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan mendatangkan kecederaan.

Sumber: Sinar Harian

The post (Video) Suspek Dipercayai Cuba Samun Dan Tumbuk Warga Emas OKU Ditangkap Polis appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments