(Video) Siap Tunjuk ‘Thumbs Up’, Lelaki ‘Santai’ Kuak Lentang Sambil Dibawahnya Ada Jerung Bikin Ramai Risau

Rakaman seorang lelaki yang sedang bersantai berenang di sebuah lautan dipercayai di Miami, Florida mungkin membuatkan nafas anda bagaikan terhenti seketika.

Dalam video dikongsikan Daily Mail, kelihatan lelaki itu sedang membuat gaya kuak lentang ketika sebuah dron melintasi ruang udara perairan berkenaan. Lelaki itu sempat menunjukkan isyarat ‘bagus’ kepada kamera dron sambil terus bersantai tanpa menyedari seekor jerung kepala tukul sedang berada di bawahnya.

Lapor portal itu, jerung itu dipercayai berukuran sekitar 10 kaki di mana haiwan itu sempat dirakam kamera seorang penduduk tempatan yang menggunakan dron ketika itu.

“Saya sedang terbangkan dron untuk periksa pantai bagi tujuan mengambil gambar,” kata Jason McIntosh, 41 seperti dilapor Daily Mail.

“Minat saya ialah merakam haiwan liar di lautan,” katanya yang menerbangkan dron miliknya pada Ahad, 15 November lalu.

“Saya pernah melihat jerung kepala tukul di persisiran pantai sebelum ini, tetapi mata saya terpana apabila melihat lelaki itu mengapungkan diri dan berenang dengan jerung mula ‘mengelilinginya.’

Tambah McIntosh itu, dia tidak mempunyai cara untuk memberi amaran kepada lelaki berkenaan.

“Jerung itu di dalam lautannya. Anda tidak boleh lupa ini lautan mereka, bukan milik kita. Kita sedang berada di persekitaran mereka ketika berada di dalam lautan.”

Bagaimanapun, ikan itu kemudiannya dikatakan berenang pergi dan lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Lapor Daily Mail memetik kenyataan National Geographic, spesies jerung kepala tukul itu dikatakan tidak mengancam nyawa manusia.

Sementara itu, dua minggu lalu, CNN melaporkan kelibat jerung putih gergasi dipercayai mempunyai berat 2,000 paun berhampiran perairan Miami.

Sumber: Daily Mail

The post (Video) Siap Tunjuk ‘Thumbs Up’, Lelaki ‘Santai’ Kuak Lentang Sambil Dibawahnya Ada Jerung Bikin Ramai Risau appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments