(Video) Detik Cemas Helikopter Bawa Jantung Untuk Pemindahan Organ Terhempas Atas Bumbung Hospital

Jika belum sampai ajal. Seorang pesakit yang memerlukan jantung baharu berjaya menjalani pembedahan selepas helikopter yang membawa organ itu terhempas di atas bumbung hospital.

Menurut laporan The Sun UK, sebuah helikopter perubatan, AgustaWestland AW109 dirakam sedang hilang kawalan sebelum mendarat dan terbalik di atas tapak pendaratan di atas sebuah hospital di Los Angeles.

Ketiga-tiga penumpang helikopter dilaporkan selamat tanpa kecederaan serius. Dalam kejadian sekitar 3.15 petang waktu tempatan itu, bilah kipas helikopter dipercayai telah menghentam sebahagian daripada bumbung hospital, menyebabkan serpihan jatuh ke bawah sebelum pesawat itu terbalik di atas bumbung hospital.

Pasukan penyelamat berjaya mendapatkan organ yang dibawa daripada San Diego menggunakan helikopter terbabit dan menyerahkannya kepada staf hospital.

Pun begitu, petugas perubatan yang dipercayai sedang membawa organ tersebut telah tersadung, sebelum terjatuh ke atas lantai bersama ‘organ’ berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan pantas petugas di lokasi berkenaan berjaya menyelamatkan organ berkenaan dan menjayakan misi pemindahan organ kepada penerima di hospital itu dalam tempoh dua jam selepas nahas berlaku.

Salah seorang saksi kejadian dilaporkan berkata, dia menyangka berlaku gempa bumi ketika helikopter itu terbalik di atas bangunan berkenaan.

“Bangunan bergegar. Saya sangka gempa bumi,” kata Javier Chamorro, 59 kepada media tempatan.

Orang ramai di kawasan sekitar juga mendakwa melihat serpihan daripada bahagian atas bangunan jatuh ke bawah. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sumber: The Sun UK

The post (Video) Detik Cemas Helikopter Bawa Jantung Untuk Pemindahan Organ Terhempas Atas Bumbung Hospital appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments