(Video) Beberapa Jalan Utama & Taman-Taman Perumahan Di Bandar Seremban Dilanda Banjir Awal Pagi Tadi

Beberapa jalan utama dan taman-taman perumahan di sekitar Bandar Seremban telah dinaiki air awal pagi tadi ekoran dari hujan lebat sehingga berlakunya banjir kilat di luar jangkaan.

Antara jalan yang dinaiki air ialah Jalan Zaaba, Jalan Rasah dan beberapa jalan utama yang lain sehingga menyebabkan beberapa buah kenderaan terkandas.

Memetik laporan tinjauan BERNAMA TV di Jalan Zaaba, kelihatan beberapa orang kanak-kanak bersama keluarga sedang berusaha untuk menyelamatkan diri dari terus terperangkap di dalam kenderaan.

Dalam tinjauan di lokasi berlainan di Jalan Rasah berhampiran Masjid Jamek Dato Bandar Haji Ahmad, di Rasah turut dilihat beberapa buah kenderaan terperangkap dan ada juga kenderaan yang dibawa oleh arus deras.

Sementara itu Yusof Othman, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Rasah, yang ditemui berkata, banjir kilat yang bermula seawal pukul 1.00 pagi itu adalah yang terburuk sejak lebih dari 40 tahun lalu.

Katanya lagi pihaknya terpaksa menjadikan perkarangan di luar masjid sebagai penempatan sementara sehingga air surut, dan mengehadkan jumlah mereka yang ingin berada di masjid bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 di mana Bandar Seremban telah diisytihar sebagai kawasan PKPB.

Sehingga pukul 5.30 pagi tadi banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar Bandar Seremban telah mulai surut dan beberapa jalan utama juga sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Sumber: BERNAMA TV

The post (Video) Beberapa Jalan Utama & Taman-Taman Perumahan Di Bandar Seremban Dilanda Banjir Awal Pagi Tadi appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments