Pandu Lawan Arus: Polis Giat Kesan Pemandu

SEREMBAN, 3 Nov – Polis sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan Perodua Alza yang tular di media sosial kerana memandu secara melawan arus, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Senawang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu terbabit telah memandu melawan arus di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan, dari kilometer (KM) 248 sehingga KM240, arah utara.

“Siasatan juga mendapati Perodua Alza yang berwarna merah itu, seterusnya memasuki Plaza Tol Pedas-Linggi dan kemudian menuju ke arah selatan. Bagaimana pun siasatan awal mendapati pemilik kenderaan tersebut, merupakan seorang wanita berumur 24 tahun yang menetap di Kulai, Johor.

“Bagaimanapun, status pemandu yang memandu kenderaan itu pada hari kejadian, masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 019-6327732 dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Semalam, video berdurasi 36 saat yang memaparkan kenderaan berkenaan dipandu secara melawan arus telah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

 

— BERNAMA

The post Pandu Lawan Arus: Polis Giat Kesan Pemandu appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments