Lokman Adam Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) — Bekas ahli majlis tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan pada Ahad lepas, kerana disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan ketika bersiaran langsung di laman Facebooknya.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, Lokman dibebaskan petang semalam manakala kertas siasatan kesnya akan dilengkapkan dalam tempoh terdekat.

“Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan untuk dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya ringkas kepada Bernama.

Semalam, Bernama melaporkan Lokman direman sehari bagi membantu siasatan kes itu, selepas ditahan sepasukan polis di sebuah restoran berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dalam kenyataan semalam berkata, kandungan video yang dimuat naik Lokman di media sosial disyaki mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan jelik terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana kesalahan menakutkan secara jenayah, Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, kerana menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan.

Terdahulu, Lokman memaklumkan menerusi laman Facebooknya memaklumkan ditahan polis ketika siaran langsung bertajuk ‘Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul?’.

— BERNAMA

The post Lokman Adam Dibebaskan Dengan Jaminan Polis appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments