LHDN Diharap Capai Sasaran Kutipan Cukai RM127 Bilion Tahun Ini

PUTRAJAYA, 19 Nov — Kerajaan menaruh harapan tinggi agar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat mengutip cukai berjumlah RM127 bilion yang ditetapkan pada tahun ini selain kutipan cukai langsung sebanyak RM143.9 bilion bagi 2021.

Ketika berkongsi harapan itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata LHDN berperanan penting untuk memastikan kutipan cukai sentiasa di tahap optimum walaupun usaha terbabit sebegitu mencabar dalam situasi pandemik COVID-19.

Menurutnya, keupayaan LHDN memungut hasil negara secara efektif akan turut memudahkan kerajaan merealisasikan agenda pemulihan dan pembangunan negara yang digariskan dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Usaha merealisasikan agenda kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara tidak akan tercapai jika tiada sumber kewangan yang mencukupi.

“Oleh itu, saya menyeru semua warga kerja LHDN untuk terus melaksanakan tugas bagi memastikan kerajaan mempunyai dana mencukupi untuk membiayai perbelanjaan negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti LHDN 2020 secara dalam talian, hari ini.

Tengku Zafrul turut menyifatkan Belanjawan 2021 itu sebagai medium mensejahterakan rakyat dan menyokong sektor perniagaan menerusi pengenalan langkah percukaian yang memberi manfaat kepada golongan sasar.

Ini menerusi pengurangan kadar cukai pendapatan, kenaikan had pelepasan serta perluasan skop pelepasan cukai pendapatan, pengecualian duti setem transaksi tertentu dan pemberian galakan cukai kepada syarikat secara bersasar.

Malah, keputusan tidak memperkenalkan sebarang cukai baharu adalah antara usaha berterusan kerajaan untuk menstabilkan ekonomi negara yang terkesan akibat COVID-19, katanya.

Kerajaan turut mengambil kira usaha memperkemas hasil cukai dengan menyentuh ekonomi bayangan yang bersaiz sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membendung aktiviti penyeludupan produk yang berkadar cukai tinggi.

“Langkah menyelaraskan usaha membendung aktiviti ekonomi bayangan seperti penyeludupan, sudah tentu membawa manfaat yang tinggi kepada hasil negara dan juga kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan,” katanya.

Menyentuh acara tahunan Hari Inovasi Dan Integriti LHDN, Tengku Zafrul berkata ini membolehkan LHDN di tahap kesediaan tinggi dalam mendepani ledakan Revolusi Industri 4.0 menerusi pendigitalan semua proses kerjanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata sebagai agensi pemungut cukai di bawah Kementerian Kewangan, LHDN akan terus gigih melaksanakan tugas menjana sumber kewangan diperlukan kerajaan demi memulihkan ekonomi biarpun dalam situasi kritikal ketika ini.

“Pelbagai inisiatif telah diambil oleh LHDN bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan percukaian di samping membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya yang berucap dari Menara Hasil di Cyberjaya dekat sini.

Selain itu, pada sambutan kali ini, LHDN melancarkan tiga produk percukaian baharu seperti Buku Pelan Korporat LHDN 2021-2025 yang juga manifestasi pelan dan strategi lima tahun agensi itu dan MyTax iaitu gerbang maklumat dan pusat sehenti untuk pembayar cukai.

Produk lain ialah APM Digital Learning Hub — platform e-pembelajaran pelbagai pilihan kandungan komprehensif termasuk video, buku dan sumber lain berkaitan kemahiran termasuk perniagaan dan pengurusan, pembangunan kepimpinan serta transformasi digital.

Sumber:BERNAMA

The post LHDN Diharap Capai Sasaran Kutipan Cukai RM127 Bilion Tahun Ini appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments