Jejaka Jangan Banyak Main Telefon Sebelum Tidur, Risiko Terhadap Ketidaksuburan Tinggi – Hello Doktor

Mungkin anda pernah mendengar ayat, “Telefon pintar memang pintar, tetapi pintarkah kita menggunakannya?”

Ketagihan telefon pintar bukan sahaja berlaku dalam kalangan kanak-kanak, namun juga orang dewasa. Seperti kebanyakan peranti, ia mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri sendiri, jika disalahguna.

Baru-baru ini, laman kesihatan, Hello Doktor telah menerbitkan penulisan mengenai masalah kesuburan lelaki yang dipercayai boleh dikaitkan dengan penggunaan kerap telefon pintar.

Menurut artikel itu, ada kajian yang membuktikan bahawa pendedahan terhadap cahaya peranti itu boleh menjejaskan kualiti sperma. Hasil kajian itu telah dibentangkan ketika Persidangan Antarabangsa Virtual SLEEP 2020.

Adakah anda gemar menggunakan telefon pintar sebelum tidur?

Sedar atau tidak, pada masa kini, penggunaan gajet elektronik sebelum tidur sudah dianggap sebagai satu ritual.

Jika tidak dibuat, seseorang itu pasti rasa seperti ada yang tidak kena, “macam ada benda terlupa nak buat, tapi apa ya?”.

Demikianlah cabaran yang sering dialami oleh mereka yang cuba untuk ‘berpuasa’ daripada penggunaan gajet elektronik beberapa jam sebelum tidur.

Bagi generasi sekarang terutamanya, telefon pintar merupakan satu keperluan asas yang perlu dimiliki.

Sebagai contoh, di Jepun, kajian pada tahun 2017 oleh Haruka Tamura et al telah menunjukkan 98.6 peratus pelajar memiliki telefon pintar di dalam poket masing-masing.

Lebih daripada separuh golongan ini menggunakan alat tersebut melebihi 2 jam sehari dan kira-kira 10 peratus menggunakannya pada durasi melebihi 5 jam sehari.

Seperti yang anda sedia maklum, kehadiran teknologi sebegini dalam kehidupan manusia bukan sahaja boleh memberikan kebaikan, malah keburukan dari sudut kesihatan.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Secara keseluruhannya, pelajar yang menggunakan gajet elektronik tersebut melebihi 5 jam sehari mengalami masalah tidur kronik.

Ia boleh jadi, sama ada mereka sukar untuk tidur (insomnia) atau masa tidur mereka kurang daripada apa yang disarankan pakar (7 hingga 9 jam).

Apa yang lebih membimbangkan adalah penggunaan telefon pintar yang berkait dengan media sosial boleh meningkatkan risiko kemurungan pengguna.

Ia berbeza dengan mereka yang menggunakan telefon pintar untuk menonton video atau bermain game bersama rakan-rakan.

Sudah terang lagi bersuluh, ia boleh mempengaruhi tahap kesihatan seseorang terutamanya bagi mereka yang ingin hidup sihat secara optimum.

Penggunaan peranti elektronik boleh jejaskan kesuburan lelaki

Satu kajian yang telah dibentangkan dalam Persidangan Antarabangsa Virtual SLEEP 2020 menunjukkan dapatan yang signifikan berkaitan dengan isu penggunaan telefon pintar oleh lelaki sebelum tidur.

Menurutnya, pendedahan terhadap cahaya yang dipancarkan oleh gajet elektronik tersebut boleh mempengaruhi kualiti sperma lelaki.

Kesuburan sememangnya satu topik yang sangat sensitif bagi lelaki.

Suatu ketika dahulu, masalah kesuburan kebiasaannya dipikul (ditanggung) oleh wanita.

Wanita yang gagal memberikan cahaya mata dipandang rendah oleh masyarakat berikutan pada waktu tersebut, mereka berpendapat ia adalah peranan penting bagi seorang isteri dalam institusi rumah tangga.

Namun, kemajuan teknologi telah membolehkan kita turut mengesan masalah kesuburan yang dialami oleh kaum Adam.

Oleh sebab ia merupakan satu stigma yang sukar ditangani, setiap kali pasangan suami isteri mengalami masalah kesuburan, semestinya isteri yang akan diperiksa terlebih dahulu.

Tanpa disedari, telefon pintar yang boleh memberikan pelbagai jenis kebaikan turut merencatkan keupayaan suami untuk menghasilkan sperma yang berkualiti untuk disenyawakan bersama dengan telur isteri.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Kajian tersebut melibatkan 116 subjek lelaki berusia di antara 21 hingga 59 tahun yang sedang menjalani pemeriksaan kesuburan di Israel.

Setelah maklumat berkaitan dengan demografi, tahap kesihatan dan pendedahan terhadap gajet elektronik dikumpul, sampel air mani mereka telah diperolehi dan dianalisis dalam makmal kajian.

Lelaki yang banyak menggunakan peranti elektronik mempunyai sperma dengan kadar motiliti (pergerakan) yang sangat minimum.

Selain itu, air mani mereka juga mempunyai kadar kepekatan sperma yang rendah.

Subjek yang tidur secukupnya, dengan kadar penggunaan telefon pintar yang rendah mempunyai kepekatan sperma dengan motiliti yang sangat optimum.

Kaitan di antara tidur dengan kesuburan lelaki

Walaupun kajian ini dianggap provokatif, tapi ia tidak mengkaji kesan cahaya telefon pintar secara langsung dengan kualiti sperma lelaki.

Seperti yang anda sedia maklum, apa yang cuba disampaikan oleh pengkaji adalah tidur merupakan satu elemen penting terhadap kesuburan lelaki.

Mereka yang banyak menggunakan telefon pintar sebelum tidur boleh merencatkan keupayaan badan untuk menghasilkan hormon melatonin.

Melatonin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh otak untuk merangsang keinginan tidur (rasa mengantuk) pada setiap individu.

Ia hanya dirembeskan oleh badan apabila kadar cahaya di sekeliling berkurangan. Oleh sebab itulah kita perlu tutup lampu sebelum tidur.

Oleh sebab hormon penting dalam penghasilan sperma (testosteron) kebanyakannya dirembeskan sewaktu tidur, sudah tentulah mereka yang tidak cukup tidur akan mengalami masalah kesuburan.

Perkara ini tidak hanya diumumkan kepada lelaki semata-mata.

Tahap kesuburan wanita turut dipengaruhi oleh kualiti tidur. Maka mereka yang banyak menggunakan peranti elektronik berpotensi untuk mengalami masalah ketidaksuburan.

Masalah tidur kronik dalam wanita sering dikaitkan dengan keupayaan yang rendah untuk merembeskan hormon luteinizing (LH) bagi memulakan proses ovulasi (pengeluaran telur).

Maka, keadaan ini turut boleh mempengaruhi kebolehan sperma untuk bersenyawa dengan ovum bagi menghasilkan zuriat.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Konklusi

Telefon pintar, walaupun banyak bantu kita dalam urusan seharian, perlu dihadkan penggunaannya.

Ia merupakan satu alat yang boleh menyebabkan kualiti sperma dan tahap penghasilannya rendah berikutan masalah tidak cukup tidur yang sering dialami.

Jika anda mempunyai masalah insomnia, pastikan anda mendapatkan bantuan pakar untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

The post Jejaka Jangan Banyak Main Telefon Sebelum Tidur, Risiko Terhadap Ketidaksuburan Tinggi – Hello Doktor appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments