Isu Solat Jemaah Berjarak & Tak Rapatkan Saf Ketika Pandemik, Ini Jawapan Dr Zulkifli

Berhubung persoalan yang timbul di media massa mengenai penjarakan fizikal ketika melakukan solat jemaah, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sekali lagi tampil memberikan penjelasan beliau.

Jelasnya, keadaan kini adalah situasi baru di mana ia menyebabkan para ulama sedunia berijtihad untuk mengeluarkan fatwa berhubung keadaan ini.

“Suka saya nyatakan masalah ini masalah baru. Masalah COVID-19 ini muncul pada akhir tahun lepas. Ia menyebabkan para ulama semasa telah berijtihad dan mengeluarkan fatwa.

“Hukum berkisar pada illah (sebab), masa ada (penyebab) hukumnya lain. Masa tiada hukumnya lain,” katanya.

Jelasnya, beberapa majlis fatwa antarabangsa membolehkan penjarakan tersebut dilakukan ketika solat jemaah susulan kerisauan merebaknya wabak.

“Dek kerana COVID-19 yang cukup mudah dijangkiti apabila SOP dilaksanakan, maka di sini saya nukilkan fatwa terkemuka dunia oleh badan berautoriti dunia. Antaranya Majlis Fatwa Mesir yang menyatakan tiada halangan terhadap penjarakan fizikal yang berlaku antara mereka ketika melaksanakan solat berjemaah.

“Antaranya Majlis Fatwa UAE, tiada masalah dalam suasana timbulnya rasa takut dari merebaknya wabak, maka dibolehkan mereka yang solat berjemaah untuk melakukan penjarakan di dalam saf dengan mengikut apa yang disarankan oleh badan kesihatan berautoriti.

“Fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi juga memberikan pandangan yang sama,” tambah beliau.

Tegasnya, fatwa itu bukanlah hasil pendapat peribadi, namun telah dipertimbangkan dari neraca syarak bagi melindungi nyawa.

“Kita telah bincangkan dalam muzakarah fatwa kebangsaan beberapa kali isu ini. Dan inilah yang kita lakukannya.

“Hal ini bukanlah satu pendapat peribadi oleh perseorangan, tetapi telah dilihat dari neraca syarak dengan maslahah dan maqasid yang perlu dijaga dari segi hifzun nafs untuk memelihara agama.

“Saya berdoa semoga negara kita Allah selamatkan dan bebaskan dari pandemik COVID-19 ini dan ia segera berlalu pergi serta kestabilan negara dan perpaduan rakyat terus utuh di bawah lembayung rahmat Ilahi dan naugnan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sumber: Bernama TV

The post Isu Solat Jemaah Berjarak & Tak Rapatkan Saf Ketika Pandemik, Ini Jawapan Dr Zulkifli appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments