“Hobi Meyimpan Lagu-Lagu Wayang Sekitar 1930-an,” Pemuda Ini Warisi 2,000 Piring Hitam Koleksi Bapa

GEORGE TOWN, 28 Nov – Memiliki 2,000 keping piring hitam bersaiz kecil dan besar dari era 1970-an hingga 1980-an, seorang pemuda S. Gokilan, 42, menyifatkan hobi bapanya Sathasivam Singaram sebagai sesuatu yang unik, kerana mampu menyimpan kesemua koleksi berkenaan dengan baik sehingga saat nafasnya yang terakhir.

Kini kesemua koleksi piring hitam yang memuatkan lagu popular di zaman itu dijaga Gokilan. Kesemua koleksi piring hitam itu adalah lagu-lagu dari pelbagai penyanyi Tamil, Hindi, Inggeris, Melayu, Cina dan Jepun.

“Koleksi ini adalah dari awal zaman belia bapa yang lahir pada 2 Mac 1945 dan meninggal pada 9 Mac lalu, dari remaja dan sejak mula kerja dia dah mula simpan koleksi-koleksi macam ini. Mula-mula dia simpan piring-piring hitam yang kecil selepas itu, kemudian simpan koleksi piring hitam yang besar pula. Ketika itu harga bagi piring hitam  kecil RM2.50 dan besar RM3.50 sekeping,” katanya ketika ditemui Bernama di rumah bapanya di Teluk Kumbar di sini.

Gokilan berkata minat dan hobi bapanya terhadap koleksi piring hitam itu sangat mendalam dan kebanyakan koleksi piring hitam itu adalah lagu-lagu dari wayang-wayang sekitar tahun akhir 1930-an hingga 1980-an.

“Antara koleksi lagu dalam piring hitam milik mendiang Sathasivam ialah lagu Tamil, oleh M.K.Thyagaraja Bhagavathar merupakan penyanyi dari India Selatan sekitar tahun 1940-an, Kamal Haasan dan SP Bala Subramaniam. Bagi koleksi lagu Melayu ialah lagu pop ABC nyanyian Hail Amir, Rafeah Buang, Sanisah Huri, Dahlan Zainuddin serta kumpulan Alleycats,” katanya dan menambah terdapat juga lagu-lagu Inggeris dari Elvis Presley, lagu Jepun dan juga Cina.

Gokilan yang merupakan Pengarah Urusan Heritage Gtour Sdn Bhd berkata selain piring hitam, bapanya turut menyimpan koleksi pita video sebanyak 5,000 keping dan cakera padat 5,000 dan secara keseluruhan koleksi bapanya itu mencecah 12,000 koleksi termasuk piring hitam.

Tambahnya sepanjang hayat bapanya, lelaki itu sangat menjaga rapi koleksi piring hitam miliknya dan akan membersihkan piring-piring itu serta akan memutar lagu untuk didengar, agar ia terus terpelihara dan berada dalam keadaan baik.

Berkongsi kisah hobi mendiang bapanya itu, Gokilan juga tidak menyangka ia menjadi tarikan beberapa pihak ketika mula-mula memuatkan koleksi simpanan bapa itu yang digelar ‘Koleksi Sada’ dalam ruangan Facebook kira-kira dua minggu yang lalu.

“Selepas memuatkan video dan juga gambar Koleksi Sada ini, ramai kawan yang hubungi ada yang dari Jepun yang meminta saya agar tidak membuang koleksi ini, kerana katanya barangan ini sangat berharga. Rakan saya dari Jepun itu memberitahu selepas tidak lagi ada sekatan perjalanan dan semuanya berakhir (CODIV-19), beliau mahu datang ke Malaysia dan mahu mengambil piring hitam ini,” katanya.

Selain itu Gokilan berkata terdapat rakannya dari persatuan sejarah di Amerika Syarikat, yang turut menyatakan minat untuk membeli kesemua piring hitam itu.

“Semasa diberitahu, saya hairan juga kenapa dia mahu membeli benda-benda lama ini nak buat apa, rupanya rakan saya itu yang merupakan broker di sana, gemar membeli barangan lama di Asia dan kemudiannya dijual di muzium di Amerika Syarikat.

“Begitu juga dengan seorang lagi rakan saya seorang arkitek yang merupakan konsultan untuk hiasan dalaman, beliau kata piring hitam ini akan dijadikan hiasan untuk rumah orang-orang kenamaan dan juga kedai makan yang amat menyukai warisan,” katanya.

Bagaimanapun Gokilan berkata beliau tidak berhasrat untuk menjual kesemua piring hitam koleksi bapanya itu dan kemungkinan hanya akan menjual sebahagian sahaja, berikutan tiada ruang yang besar untuk menyimpan koleksi piring hitam bapanya.

Katanya, sesiapa yang berminat untuk mendapat sebahagian piring hitam itu akan dijual dengan harga RM5 sekeping sehingga 31 Dis ini.

— BERNAMA

The post “Hobi Meyimpan Lagu-Lagu Wayang Sekitar 1930-an,” Pemuda Ini Warisi 2,000 Piring Hitam Koleksi Bapa appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments