Guru Manfaatkan Tempoh PKP Tanam Lebih 1,000 Pokok Strawberi

MARANG, 10 Nov (Bernama) — Sesiapa sahaja yang singgah di kediaman guru agama ini pasti akan berasa seolah-olah sedang berada di pusat peranginan terkenal, Cameron Highlands.

Manakan tidak, halaman rumah Ramli Yusof, 55, yang terletak di Kampung Berangan Pak Ayu, di Bukit Payong di sini, dipenuhi dengan kehijauan daun dan kemerahan buah strawberi yang menyejuk mata memandang.

Ramli atau mesra dipanggil Ustaz Ramli pada mulanya hanya menanam sekitar 50 pokok strawberi sejak dua tahun lepas sebagai hobi.

Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama kira-kira tiga bulan sejak Mac lepas telah memberi kesempatan kepada guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Payong ini untuk meluangkan masa di kebunnya, yang sehingga kini mempunyai 1,200 pokok strawberi terdiri daripada pelbagai jenis.

“Kalau tidak kerana PKP mungkin tanaman strawberi saya tidak akan jadi sebanyak ini. Sepanjang PKP, selepas sahaja selesai urusan sekolah dan sesi mengajar secara dalam talian, saya pun menghabiskan masa dengan menanam strawberi.

“Kini, selepas subuh sebelum ke sekolah saya akan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam di kebun mini strawberi ini,” katanya ketika ditemui Bernama di kebun mini yang dinamakan ‘Strawberry_Tokki’, di sini.

Ramli yang sememangnya gemar bercucuk tanam sejak muda berkata beliau menimba ilmu mengenai penjagaan pokok strawberi daripada rakan dan menonton video-video di saluran YouTube.

Kredit gambar: BERNAMA

Katanya, menanam strawberi tidaklah rumit seperti yang disangka ramai, malah ia merupakan tanaman yang tahan lasak dan sukar untuk ‘mati’.

“Yang penting ia perlu sentiasa lembap dan diberi baja yang cukup. Saya juga memasang jaring di sekeliling kebun bagi menghindari buah strawberi dimakan burung,” katanya.

Isterinya Norizan Pipeh, 51, yang juga seorang guru turut membantu Ramli bersama-sama mengusahakan kebun mini ‘Strawberry_Tokki’ yang mula dibuka untuk kunjungan orang ramai sejak kira-kira lima bulan lepas.

Katanya setakat ini, ‘Strawberry_Tokki’ yang dibuka setiap Jumaat dan Sabtu itu tidak henti didatangi pengunjung termasuk dari luar Terengganu.

“Ada yang datang dari jauh membawa ibu bapa yang telah tua kerana teringin hendak melihat buah strawberi memandangkan perjalanan ke Cameron Highlands agak jauh dan cuaca di situ agak mencabar bagi warga emas. Jadi mereka datang ke sini sahaja. Cuma sejak kes COVID-19 yang semakin meningkat semula ini saya mengehadkan jumlah kedatangan pengunjung untuk menjaga SOP (prosedur operasi standard).

“Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke sini. Malah, sekiranya ada buah strawberi mereka boleh merasanya dengan percuma. Saya hanya jual anak pokok sahaja. Apa yang saya lakukan ini adalah kerana minat, bukannya keuntungan semata-mata,” katanya yang menjual anak pokok strawberi antara RM15 hingga RM20.

Selari dengan peredaran semasa, Ramli yang merupakan datuk kepada tiga cucu itu telah mula memasarkan anak pokok strawberi melalui platform perniagaan dalam talian dan media sosial sejak bulan lepas dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

Ramli turut berharap supaya tanaman strawberinya itu akan terus berkembang dan kebun mininya mempunyai lebih 3,000 pokok strawberi.

Sumber: BERNAMA

The post Guru Manfaatkan Tempoh PKP Tanam Lebih 1,000 Pokok Strawberi appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments