COVID-19: KP Kesihatan Sahkan Terdapat Kes Individu Pulang Ke Kelantan & Menjangkiti Beberapa Individu Lain

PUTRAJAYA, 5 Nov – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan memang terdapat kes individu yang merentas negeri ke Kelantan semalam.

“Jadi ini berlaku, ada satu kes memang betul dia balik ke Kelantan dan telah menjangkiti empat orang yang positif iaitu ahli keluarga tersebut.

“Dan sekarang kita jalankan saringan kepada 127 individu, iaitu 40 individu melibatkan pekerja dengan individu tersebut dan yang lain 87 adalah kenalan dan juga ahli keluarga terdekat individu tersebut.

“Jadi Kementerian Kesihatan menasihatkan, kalau boleh, elakkan daripada merentas sempadan negeri atau sempadan daerah,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan pemberita mengenai isu individu tersebut yang didakwa merentas negeri lalu menjangkiti beberapa individu lain seperti yang dilaporkan media semalam.

Sebelum itu, Noor Hisham turut menasihatkan orang awam yang berada di kawasan Zon Merah iaitu dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk kekal berada di zon tersebut.

“Kalau balik ke kampung, ada risiko kita bawa jangkitan, terutamanya kepada ibu bapa kita atau warga emas di kampung dan juga kanak-kanak dan sebagainya,” katanya lagi.

Untuk rekod, negara hari ini mencatatkan kes positif COVID-19 kekal empat angka iaitu 1,009 kes, selain enam kematian baharu dan lima lagi kluster baharu yang dikenal pasti.

Sumber: KKM

The post COVID-19: KP Kesihatan Sahkan Terdapat Kes Individu Pulang Ke Kelantan & Menjangkiti Beberapa Individu Lain appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments