Warga Myanmar Mengamuk Di Kedai Perkakasan Ditahan

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki mencederakan seorang pekerja sebuah kedai perkakasan dalam satu kejadian amuk di Selayang, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada kira-kira 2.20 petang, dan siasatan awal mendapati suspek berusia 20 tahun itu masuk ke dalam kedai tersebut untuk mengambil basikal kanak-kanak, namun dihalang mangsa yang merupakan warga Bangladesh.

“Suspek kembali semula ke kedai itu dengan membawa sebilah pisau dan menikam pekerja tersebut di bahu kiri sebelum bertindak agresif dengan merosakkan barang di dalam kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang berusia 25 tahun bersama seorang lagi rakannya cuba menahan suspek sebelum anggota polis tiba di lokasi kejadian dan berlaku pergelutan yang mencederakan suspek.

Pasukan polis yang tiba kemudian berjaya menahan suspek dan merampas sebilah pisau berukuran 15 cm panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, katanya.

Klip video kejadian itu tular menerusi media sosial sejak awal pagi tadi.

— BERNAMA

The post Warga Myanmar Mengamuk Di Kedai Perkakasan Ditahan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments