Viral Video Anggota Bomba Dikasari Ketika Padam Kebakaran, Menteri Minta Kes Disiasat Segera

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) — Siasatan kes anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang dikasari sewaktu memadamkan kebakaran berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn perlu dijalankan segera.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan hari ini berkata individu yang melanggar undang-undang harus diambil tindakan mengikut Perlembagaan Persekutuan memandangkan lelaki yang menumbuk anggota bomba itu berada dalam keadaan khayal.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta lelaki itu turut menemukan senjata tajam iaitu pisau pemotong daging.

“Secara peribadi, saya terkilan dan terguris apabila melihat rakaman video berkenaan kerana anggota bomba merupakan salah satu petugas di barisan hadapan yang bekerja tanpa mengenal erti penat dan lelah, bahkan pengorbanan mereka seharusnya diiktiraf masyarakat.

“Masyarakat dalam apa-apa situasi sepatutnya menghormati tugas yang dijalankan anggota bomba, memandangkan sudah terbukti mereka memikul tanggungjawab berat bagi menjaga keselamatan awam dan ketenteraman masyarakat,” katanya.

Jelas Zuraida, anggota JBPM yang dipukul individu awam itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan seorang lelaki bertindak agresif dengan menumbuk anggota bomba dan mengamuk sebelum ditahan.

Sumber: BERNAMA

The post Viral Video Anggota Bomba Dikasari Ketika Padam Kebakaran, Menteri Minta Kes Disiasat Segera appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments