Video Gaduh Tular, Polis Tahan Dua Pelajar Sekolah Untuk Siasatan

SEREMBAN, 4 Okt (Bernama) — Polis menahan dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini selepas menerima laporan daripada seorang guru mengenai satu video klip yang memaparkan pergaduhan antara pelajar, yang menjadi tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Said Ibrahim berkata susulan laporan polis pada kira-kira pukul 11.28 pagi semalam, polis menahan dua pelajar berumur 14 tahun pada hari yang sama, dan kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada sebelah petangnya.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 30 Sept lepas iaitu selepas waktu sesi persekolahan dan punca pergaduhan dipercayai akibat salah faham,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu satu rakaman video berdurasi 1 minit 24 saat yang memaparkan seorang remaja dipukul dua rakannya menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.

Sumber: BERNAMA

The post Video Gaduh Tular, Polis Tahan Dua Pelajar Sekolah Untuk Siasatan appeared first on Siakap Keli.




Post a Comment

0 Comments